Parti Muda: Sumbangan kepada sistem demokrasi
PASIR GUDANG - Kewujudan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan menjadi cabaran kepada Pemuda UMNO terutama selepas Undi 18 yang sudah diluluskan di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis.
Bagaimanapun Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose berkata, pihaknya tidak menganggap Muda sebagai satu ancaman sebaliknya sebagai satu sumbangan dalam sistem demokrasi negara yang sihat dan terbuka.
"Ini satu perkara yang sihat untuk sistem demokrasi negara, meraikan kepelbagaian dan mana-mana pihak yang tujuannya demi kebaikan negara dan Pemuda UMNO melihat ini sebagai satu perkembangan positif.
"Kita akui kewujudan Muda ini akan memberikan cabaran kepada UMNO khususnya Pemuda UMNO, jadi ini bergantung kepada mana-mana parti dalam usaha mereka menambat hati golongan muda,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Kembali ke Sekolah 2022 anjuran Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang dengan kerjasama Pemuda MCA Bahagian Pasir Gudang di pasar raya Econsave Permas, di sini pada Sabtu.
Noor Azleen juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang sudah menghantar surat ke Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang pada Khamis menjemput Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berdebat berhubung kenyataannya baru-baru ini.
Debat itu katanya, berkenaan kenyataan Hassan yang mendakwa UMNO cuba menghancurkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan cadangan membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off.
Sementara itu, Hassan ketika dihubungi memaklumkan akan menyertai debat dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wahdi Dusuki anjuran Sinar Harian jam 8.30 malam pada Khamis depan di Shah Alam, Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!