Bekas exco sifatkan Kerajaan Johor gagal
JOHOR BAHRU - Bekas Exco Kerajaan Johor menyifatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian gagal dalam menyelesaikan isu bencana alam di Pasir Gudang.
Bekas Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat turut membidas kerajaan negeri dan menteri besar yang sering menuding jari kepada pembangkang.
"Rasanya dia terlupa bahawa dia seorang menteri besar yang boleh membuat keputusan. Rakyat Pasir Gudang terutamanya dan rakyat Johor sentiasa memerhati dan menilai kerja menteri besar dan semua Exconya," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Ayub berkata, pandangan Hassan ternyata tidak dilayan dan dipandang sebelah mata oleh menteri besar ketika usul dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebelum ditolak Dewan Rakyat.
Selain itu, beliau menjawab tuduhan mengatakan dirinya hanya membuat andaian dan ramalan secara rambang malah tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku, Ayub memaklumkan dirinya telah melawat ke beberapa lokasi pusat rawatan awal.
"Menteri besar sendiri yang berkata masalah ini masih terkawal dan tidak perlu mengisytiharkan darurat. Ia sangat mendukacitakan rakyat di Pasir Gudang seolah-oleh tidak melihat dengan mata sendiri kejadian yang berlaku
"Sebaliknya apa yang berlaku hari ini adalah mangsa di ICU semalam sembilan orang yang diumumkan menteri bertambah menjadi 12 orang hari ini. Ia suatu yang mengejutkan kita semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!