Lima rumah setinggan terbakar
TANJONG KARANG - Lima rumah setinggan yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan barang lusuh terbakar dalam kejadian di Jalan Bagan Pasir di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.25 petang.
Menurutnya, seramai 26 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Kuala Selangor, Sekinchan dan Sungai Besar bersama jentera masing-masing dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Laporan awal mendapati kebakaran membabitkan lima rumah setinggan yang menjadi kawasan sekitar sebagai tempat pengumpulan barang lusuh.
"Rumah terbabit merupakan bangunan kelas C berkeluasan 30X50 setiap unit rumah terbakar 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Norazam berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.45 petang dan kerja-kerja pemeriksaan dan pemantauan kebakaran sedang dijalankan.
"Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!