'Jangan cuba ambil kesempatan'
KLANG - Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba menipu mangsa banjir dengan mengenakan bayaran bagi permohonan bantuan yang diberikan kerajaan negeri Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak akan melaporkan terus kepada pihak polis sekiranya terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menipu mangsa banjir.
"Saya terima maklumat, ada di beberapa kawasan mengenakan bayaran bagi setiap borang permohonan untuk bantuan yang diberikan kerajaan negeri Selangor.
"Namun di Meru setakat ini kita belum lagi terima aduan berhubung kegiatan ini. Saya beri amaran sekiranya ada, saya akan terus lapor kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mengurus bantuan yang diberikan dan sekali gus mengenakan bayaran.
"Semua urusan permohonan adalah percuma dan tidak ada bayaran dikenakan dan kita minta masyarakat supaya peka dan berhati-hati.
"Jangan sewenangnya menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali, dan sekiranya masyarakat ada maklumat berkaitan kegiatan ini, terus lapor kepada polis," katanya.
Pada Rabu, terdapat pihak dikesan mengambil kesempatan mengenakan bayaran sehingga RM200 bagi setiap borang permohonan bantuan wang tunai di bawah pakej Bantuan Selangor Bangkit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berkata, aktiviti menyasarkan warga emas dan ibu tunggal itu dikesan aktif di daerah Klang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!