Isu balak: Kenyataan kerajaan Kelantan mengelirukan

Meor Razak (lima dari kanan) sebelum ini pernah membawa para aktivis alam sekitar melihat ke kawasan pembalakan di Gua Musang, Kelantan.
Meor Razak (lima dari kanan) sebelum ini pernah membawa para aktivis alam sekitar melihat ke kawasan pembalakan di Gua Musang, Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Aktivis alam sekitar mendakwa kenyataan oleh pihak kerajaan Kelantan berhubung isu pembalakan yang berkaitan dengan status Pensijilan Pengurusan Hutan di negeri ini adalah mengelirukan.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Pensijilan Pengurusan Hutan iaitu Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management (MC&I) di bawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) yang diperoleh Kelantan pada tahun 2004 didakwa berstatus sudah digantung sejak tahun 2016.

Katanya, hal itu berdasarkan sumber yang boleh dipercayai dan berautoriti berkaitan dokumen yang dikenali sebagai Kriteria, Petunjuk, Aktiviti serta Spesifikasi Pengurusan untuk Pensijilan Pengurusan Hutan di Semenanjung Malaysia.

“Kenyataan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini berhubung isu pembalakan dipercayai mengelirukan dan tidak bersandar kepada disiplin dalam bidang berkaitan pengurusan hutan dan alam sekitar.

“Kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut bahawa Kelantan mengamalkan pengurusan hutan secara mampan, mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan memperoleh pensijilan MC&I adalah sebaliknya dan boleh dipersoal,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dakwa beliau, pensijilan bagi negeri Kelantan ditarik balik sejak 11 Mac 2016 akibat salah satu faktor iaitu didakwa mengusaha hasil balak yang melebihi kuota CTT.

“Penarikan pensijilan oleh MTCS memberi gambaran bahawa kerajaan terbabit dipercayai tidak mengurus dan mengusahasil sumber hutan secara mampan.

“SIRIM QAS Sdn Bhd juga membuat keputusan tersebut setelah Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan yang dipercayai gagal membuat penambahbaikan terhadap Permintaan Langkah Pembetulan yang dikendali oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Meor Razak menjelaskan, rakyat umumnya tidak menafikan hasil hutan adalah salah satu pendapatan kepada sesebuah negeri namun tidak boleh menerima aktiviti pengusahasilan balak di Kelantan dieksploitasi secara rakus.

“Kerakusan aktiviti pengusahasilan ini bertambah parah apabila hampir 28 peratus keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri tersebut dipercayai dizonkan untuk tujuan pelaksanaan ladang hutan (ladang monokultur).

“Termasuk aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK dan pengusahasilan secara tebang habis bagi pelaksanaan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian berskala besar mengakibatkan kemusnahan hutan asli sekali gus memberi impak terhadap hidrologi seperti hakisan lereng bukit, kerosakan struktur sungai, kemerosotan kualiti air dan banjir,” katanya.

Tegasnya, sebagai aktivis alam sekitar, beliau berharap kerajaan Kelantan menghentikan atau tidak lagi meluluskan aktiviti di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) terutama dalam kawasan HSK.

“Geofizikal dan topografi negeri Kelantan juga mempunyai beberapa banjaran utama atau Central Forest Spine (CFS) yang amat harus difahami bahawa apabila kawasan CFS yang dikategori sebagai (KSAS) dimusnahkan dan dilakukan aktiviti selain guna tanah hutan, impak buruk akan berlaku terhadap ekosistem.

“Kerajaan Kelantan dan pihak-pihak berkuasa perlu patuh Rancangan Fizikal Negara (RFN), dasar yang berkaitan di samping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada dalam melindungi hutan di negara kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!