Ibrahim Ali fail semakan kehakiman desak RoS luluskan parti Putra

Ibrahim bersama jawatankuasa penaja Putra semasa memfailkan kes di mahkamah.
Ibrahim bersama jawatankuasa penaja Putra semasa memfailkan kes di mahkamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Dr Ibrahim Ali memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Kerajaan bagi menuntut organisasi itu meluluskan permohonan pendaftaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Ibrahim selaku pemohon menamakan Ketua Pengarah RoS dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua memfailkan permohonan itu secara e-failing oleh peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz kira-kira jam 10 pagi.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengemukakan permohonan kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi Penaja parti berkenaan berkata satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Ogos tahun lepas yang meluluskan draf Perlembagaan Putra untuk dihantar kepada kedua-dua responden.

Katanya, permohonan untuk penubuhan parti tersebut telah dihantar secara atas talian pada 13 Ogos tahun lepas dan dokumen berhubung penubuhan Putra juga dihantar kepada responden pada 16 Ogos tahun sama selain perjumpaan turut diadakan dengan pegawai responden untuk mendapatkan penjelasan tentang prosedur operasi standard (SOP) proses kelulusan itu.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas berhubung status permohonannya selain mendakwa wujud ketidakpatuhan dalam SOP yang dikendalikan oleh responden.

Sehubungan itu Ibrahim memohon perintah mandamus supaya responden meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada Ogos 2018.

Ibrahim juga memohon deklarasi bahawa tindakan responden yang tidak menjawab permohonannya untuk beliau menubuhkan parti berkenaan adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan hak pemohon untuk menubuhkan persatuan seperti yang terkandung dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!