Senator sastera di Dewan Negara
KAKI kita sudah memijak Tahun Baharu 2022. Tidak terelakkan pandemik, elemen yang menentukan jejak perjalanannya. Apa pun, segala peristiwa tahun lalu sudah menjadi sejarah.
Lazimnya munculnya suria tahun baharu, orang akan memasang cita-cita baharu, iltizam baharu atau sekurang-kurangnya angan-angan baharu. Pengarang pun tidak ketinggalan memperbaharui azamnya.
Lebih prolifik, membawa pembaharuan dan mencapai puncak dengan menghasilkan karya bermutu. Setiap penulis mempunyai cita-cita dan keinginan berjaya bagi menduduki tahap tertinggi dalam penulisannya. Cita-cita itu hanya dapat dicapai sekiranya pengarang mempunyai sifat keberanian dan kebijaksanaan.
Keberanian adalah tunjang dan sikap yang dirasionalkan secara tekstual dan kontekstual. Tekstualnya atau penstrukturan karyanya berada di antara sifat pengekalan dengan pembaharuan.
Mengekalkan mana-mana aspek positif yang memberi impak ke atas status quo penciptaannya. Dan melakukan penghijrahan apabila dia berasa terpenjara dengan status quo itu, lalu mencari dimensi baharu dalam penulisannya.
Kontekstual pula memberi perhatian fungsi karya kepada khalayaknya. Resepsi khalayak patut menjadi pertimbangan, karyanya disenangi, menyentuh perasaan dan mengetuk pemikiran.
Nilainya dapat dikesan daripada sambutan generasi sezaman dan mampu bertahan beberapa dekad dan kurun kemudiannya. Sebaliknya, betapa banyak teks tiada bermaya, ibarat daun kekeringan, gugur lebur menjadi debu.
Teks yang ditulis sekian ramai pengarang pula, akan adanya yang menjadi karya pilihan, tersenarai sebagai teks kanon atau unggul. Di situ, terserlah kebijaksanaannya dengan berkarya dalam pelbagai genre seperti metafiksyen, realisme magis, pastis, lotta, metasejarah dan sebagainya, yang pintar membaringkan maknanya.
Karyanya diturunkan sifat agungnya dan dicirikan rukun keistimewaannya sehingga ada yang menjadi teori sastera.
Pengarang muda akan mendapat manfaat besar seandainya cerdik menukil keberanian dan kebijaksanaan itu. Betapa ramai pengarang menjadi mapan dan hebat kerana hanya ber-dampingan dengan teks-teks yang tersenarai sebagai luar biasa itu.
Tahun 2022 juga akan menyaksikan kelahiran penulis baharu. Pemula ini akan memilih genre sajak atau cerpen, drama atau novel. Biasanya ramai memilih sajak, mungkin dirasakan senang dan pendek.
Namun, ia bersifat puitis, emotif, figuratif, metaforikal, referensial dan sarana bahasa yang cukup padat dan ekonomikal. Tidak sahaja luahan perasaan, juga memerlukan pemikiran, ketajaman renungan dan imaginasi bergabung dengan pengalaman pancaindera.
Diksinya dilengkungi irama dan rentak, membentuk nada dan mencitrakan sikap penulisnya. Juga memiliki tipografi sebagai ciri khas yang membawa warna makna semantiknya. Ada waktunya puisi mudah difahami, namun ada sukar, bersimbol dengan penanda dan petanda, menjadi remang dan kabur.
Pemula dalam cerpen pula biasanya mencari temanya, menetapkan sifat wataknya dan menentukan latarnya, kemudian membiarkan teks itu beraksi dan bereaksi sesuai dengan plot. Hanya sebuah peristiwa, sebuah plot, sebuah watak, sebuah tujuan dan mencuba membangkitkan sebuah kesan atau kesedaran. Cerpen digerakkan oleh bahasa naratif yang lancar, tangkas dan komunikatif.
Mereka yang tertarik kepada konflik masyarakat dan pertentangan nilai hidup akan memilih genre drama. Kepandaian mengaplikasikan dialog dan mengangkat aksi dramatik menjadi syarat utama. Teks yang dinamakan skrip itu harus memiliki rukun teatrikalitinya iaitu keboleh-mampuan untuk dipentaskan.
Dengan sendirinya, ilmu teater dituntut seperti aspek pengarahan, lakonan, perekayasa latar, kostum, penata cahaya, penata rias, audio dan tempo untuk membangunkan spektakuler pementasannya.
Tidak terkecuali, ada meminati genre kritikan. Sumber utamanya ialah membaca dengan banyaknya teks karya kreatif. Tergerak oleh rasa apresiasi, mula melakar-lakarnya dan mencoret-coret unsur pukauannya. Dimulai menulis rencana, sorotan atau resensi, kemudian beralih kepada kritikan.
Kritikan tidak berdiri tanpa teori sastera, sekurang-kurangnya menguasai yang moden seperti formalistik, sosiologi dan psikologi. Bermula dengan penilaian ringan, menyatakan mana disenangi dan kurang penikmatannya, dan cuba memberi hukuman sama ada karya itu baik atau tidak.
Begitulah diharapkan Tahun Baharu terus membesarkan pengarang sedia ada dan mengalu-ngalukan penulis baharu.
Sesuai dengan Tahun Baharu, elok juga sejenak meninjau kedudukan dunia sastera yang masih belum selesai persoalannya seperti Dasar Sastera Kebangsaan yang sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Banyak pertemuan dalam kalangan penguasa sastera telah membincangkannya, namun masih tersekat kewujudannya.
Suara sumbang senantiasa mencari jalan menggugat kedudukan Sastera Kebangsaan. Dasar yang sudah dirancang berpuluh-puluh tahun itu, sampai masanya dilegitimasikan. Terus ia dimantapkan dan dipertahankan.
Persoalan penubuhan Muzium Sastera Negara juga patut dihidupkan semula. Beberapa tahun lalu sudah ditentukan konsep dan pembinaannya tetapi kini cita-cita itu sudah menghilang. Tidak perlu diulang betapa signifikan sebuah muzium sastera bertaraf kebangsaan didirikan.
Hayat sastera Melayu sudah terlalu panjang dan tua serta pernah menjadi alat penggerak semangat kemerdekaan dan berusaha pula melakukan pengisiannya pada zaman pasca merdeka.
Rasanya, pandemik tidak menghalang usaha Muzium Sastera Negara dihayati dan direalisasikan. Meski sudah ada muzium sastera di Melaka dan Selangor tetapi kita memerlukan yang beridentiti kenegaraan seperti Muzium Negara.
Sebuah lagi gerakan wajib dihidupkan ialah anjuran Gapena mencadangkan dalam Sistem Pendidikan Negara agar mata pelajaran Sastera diangkat tarafnya menjadi mata pelajaran wajib bersama Bahasa Melayu, Inggeris, Pendidikan Islam dan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.
Serombongan wakilnya telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan tetapi hingga kini ia senyap, sesenyap negeri baru diserang garuda.
Saya berpandangan semua keperihalan berkaitan kedudukan Sastera Kebangsaan itu boleh disemak semula. Peranan sastera di zaman sains dan teknologi tidak pernah kering peranannya terutama dalam konteks pembinaan tamadun dan peradaban bangsa.
Banyaknya persoalan belum selesai yang menuntut tindakan aktif dan dinamik itu, memerlukan sebuah figura atau sosok yang dapat bertindak sejajar dengan perjalanan pentadbiran kerajaan. Rasanya sudah sampai masanya salah seorang tokoh sastera dan penguasa bahasa dilantik menjadi senator sastera di Dewan Negara.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!