Cacat penglihatan bukan penghalang jadi pensyarah
SERDANG - Cacat penglihatan bukan penghalang bagi Khairullah Affarouk Paiman, 37, untuk terus menempa kejayaan di peringkat tertinggi bagi merealisasikan cita-citanya untuk menjadi pensyarah dalam bidang bahasa.
Anak kelahiran Felda Pemanis, Segamat, Johor itu berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Bahasa Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sedang menyambung pelajarannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Beliau antara 945 graduan UPM yang menerima skrol pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-44 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.
Khairullah Affarouk ketika ditemui Bernama berkata, cacat penglihatan dialaminya sejak berusia 13 tahun bukan alasan untuk dirinya berputus asa sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
“Saraf mata saya rosak akibat terkena bola dan doktor memaklumkan ia tidak boleh dibaiki lagi... mulai saat itu, saya menyertai sekolah pendidikan khas untuk mendalami ilmu menggunakan tulisan Braille.
“Memang ia agak sukar dan saya ambil masa enam bulan untuk belajar tulisan Braille... Alhamdulillah, berkat usaha, kini saya sudah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan hanya selangkah lagi untuk mendapatkan PhD,” katanya.
Berkongsi cara pembelajarannya, beliau berkata, teknologi serba canggih seperti Mesin Pencetak Braille di UPM memudahkan urusan untuknya mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan.
“Bahan-bahan juga diperoleh daripada internet dan saya memang banyak habiskan masa di perpustakaan kerana banyak kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) belajar di tempat itu,” katanya.
Turut senada dengan Khairullah Affarouk, adalah bekas atlet sepak takraw negara Muhammad Kamal Ishak, 29, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan kereta pada 2019 dan kini berjaya bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani UPM.
Beliau berkata, motivasi utama untuknya terus menyambung pendidikan meskipun lumpuh adalah isterinya iaitu Nik Nurzilawatie Nik Wil, 29, dan anak perempuannya Nur Assyifa Media yang berusia dua tahun.
“Akibat kemalangan, memang saya terbaring dan tidak boleh bergerak...ahli keluarga yang membantu dan menguruskan diri saya sepanjang saya terlantar selama hampir empat bulan.
“Alhamdulillah selepas menjalani fisioterapi, saya dah boleh gerakkan tangan dan boleh duduk di atas kerusi roda dan belajar...syukur kini saya bergelar siswazah UPM,” katanya.
Menceritakan cara pembelajarannya, Muhammad Kamal berkata, ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), proses pembelajaran diadakan secara dalam talian memberi kelebihan buatnya kerana tidak perlu bergerak ke universiti.
“Semua pembelajaran secara dalam talian termasuk latihan industri di sekolah sukan negeri... kalau perlu pergi ke sekolah mungkin dalam sekali seminggu,” katanya.
Anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berhasrat untuk menyumbang bakti dalam sukan sepak takraw negara dari segi kejurulatihan atau menyediakan analisis sukan itu.
“Memang saya rindukan sukan sepak takraw...kalau boleh saya ingin teruskan sumbangan untuk sukan ini... sepak takraw memang sebati dengan diri saya kerana ia permainan sejak kecil lagi,” katanya yang bermain posisi apit kanan ketika mewakili negara.
Antara kejayaan dikecapi Muhammad Kamal adalah membantu Malaysia meraih pingat perak acara regu berpasukan di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!