Permohonan PPR ibu tunggal tidak termasuk kategori utama
SEREMBAN - Permohonan Projek Perumahan Rakyat(PPR) seorang ibu tunggal di Flat Taman Sri Mawar di sini tidak dapat diluluskan pada kadar segera kerana terdapat permohonan lain yang lebih mendesak.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik berkata, bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima permohonan Noor Herra Hardiana pada 8 Januari tahun lalu.
"Permohonan itu dikunci masuk ke dalam Sistem Perumahan Negeri Sembilan(ePENS) melalui Sistem Pendaftaran Terbuka(SPT) pada 11 Januari 2021.
"Siasatan permohonan dilaksanakan pada 15 Januari 2021 bagi memastikan permohonan tersebut memenuhi syarat-syarat permohonan Rumah Awam Harga Rendah (RAHR)," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, disebabkan pada masa tersebut terdapat permohonan-permohonan lain, maka kerajaan negeri telah mengemukakan keputusan dan pertimbangan pada Februari tahun lalu.
Jelas beliau, keputusan dibuat mengikut syarat-syarat kelayakan setiap pemohon dengan melihat keutamaan dan keperluan mendesak.
"Penama pada ketika itu tidak termasuk dalam senarai keutamaan atas dasar terdapat permohonan-pemohonan lain yang lebih mendesak dan harus diberi keutamaan.
"Selain itu, kekosongan di PPR Bersepadu Senawang adalah terhad dan tidak dapat memenuhi semua permohonan," katanya.
Bagaimanapun, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan mengambil tindakan segera membantu wanita tesebut bagi mengenal pasti keperluan sebenar dan kaedah terbaik bagi memastikan kebajikan ahli keluarganya terjaga.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang ibu tunggal di Flat Taman Sri Mawar di sini menaruh harapan tinggi agar permohonannya memiliki Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan segera.
Noor Herra Hardiana Badri, 37, berkata, ketika ini dia dan anaknya, Muhammad Danish Riza Hadi, enam tahun, menyewa di Flat Taman Sri Mawar, Senawang dengan bayaran RM450 sebulan.
Bagaimanapun katanya, dengan pendapatan tidak menentu menjual produk kesihatan secara dalam talian, agak sukar untuk menjelaskan sewa berkenaan sehingga terpaksa meminjam wang daripada ibunya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!