Saliran dua kilometer atasi banjir penempatan asnaf

Basari menunjukkan saliran besar sepanjang dua kilometer yang menghala ke Sungai Temai telah siap dibina berhampiran kawasan PKPB di Kampung Padang Rumbia.
Basari menunjukkan saliran besar sepanjang dua kilometer yang menghala ke Sungai Temai telah siap dibina berhampiran kawasan PKPB di Kampung Padang Rumbia.
A
A
A

PEKAN - Pembinaan saliran besar sepanjang dua kilometer menghala ke Sungai Temai menyelesaikan masalah banjir di kawasan penempatan golongan asnaf, Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu (PKPB), Kampung Padang Rumbia, di sini.

Seramai 52 keluarga di PKPB, kini mampu menarik nafas lega apabila kawasan perumahan yang didiami sejak 2012 tidak lagi ditenggelami air selepas terbina saliran besar itu.

Ketua Kampung Padang Rumbia, Basari Abd Malek berkata, saliran besar yang dibina di kawasan penempatan penduduk siap dibina pada September tahun lalu.

Menurut beliau, masalah banjir di kawasan penempatan PKPB selesai dan tidak menyusahkan penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila berlakunya hujan lebat.

"Sekarang ini bila hujan lebat air tidak bertakung seperti dulu, sebaliknya ia mengalir ke Sungai Temai. Saliran besar itu berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan perumahan PKPB yang terjadi setiap tahun.

“Pada kejadian banjir baru-baru ini, penduduk kawasan perumahan ini tidak perlu lagi berpindah ke PPS seperti lazimnya.

"Jadi, saya amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pahang dan pemimpin setempat atas usaha membina saliran untuk kepentingan penduduk," katanya ketika ditemui di PKPB di Kampung Padang Rumbia di sini pada Ahad.

Seorang penduduk, Saad Long, 66, berkata, sejak menetap di PKPB lebih sedekad, tahun ini rumahnya tidak dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Saad menjelaskan kebiasaannya air longkang mengalir perlahan setiap kali hujan lebat dan penduduk di kawasan itu terpaksa berpindah ke PPS berhampiran.
Saad menjelaskan kebiasaannya air longkang mengalir perlahan setiap kali hujan lebat dan penduduk di kawasan itu terpaksa berpindah ke PPS berhampiran.

"Kalau sebelum ini, kita bimbang bila hujan pasti rumah dinaiki air dan seluruh penduduk di PKPB akan bersiap sedia untuk pindah.

"Tapi sejak saliran besar ini dibina, paras air hanya berada di longkang hadapan rumah sahaja," ujarnya.

Dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pahang dan mereka yang terlibat menyelesaikan masalah banjir di PKPB ini.

"Kita amat hargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan Pahang," katanya ringkas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan saliran besar di penempatan golongan asnaf dibuat selepas permohonan diluluskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, pihak KPLB telah meluluskan peruntukan sebanyak RM80,000 untuk membina saliran bagi mengatasi masalah banjir yang saban tahun dialami golongan asnaf di situ.

“Selepas pembinaan saliran ini siap, penduduk asnaf di PKPB tidak lagi perlu berpindah ke PPSl seperti sebelum ini.

"Saliran baharu ini berjaya mengurangkan kesan banjir yang dihadapi sebelum ini. Ia antara usaha kerajaan dalam memastikan nasib mangsa banjir terbela dan duduk dengan selesa sama ada di rumah sendiri mahupun di PPS," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!