Nelayan asing 'sapu' ikan Malaysia
KUALA TERENGGANU - Tiga tan ikan campur, dua tan ikan baja serta sotong kering yang dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) 'disapu' sekumpulan nelayan asing sepanjang tempoh beberapa hari menceroboh masuk ke perairan negara.
Bagaimanapun, usaha 14 awak-awak dan seorang tekong warga Vietnam berusia lingkungan 18 hingga 51 tahun menggandakan hasil tangkapan mereka terbantut selepas bot mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Timbalan Pengarah Maritim Pahang (Operasi), Kapten Maritim V Pannir Selvan Veloo berkata, bot nelayan asing itu ditahan pada lokasi lebih kurang 83 batu nautika Timur Laut dari Kuantan, jam 8 pagi semalam.
Jelasnya, semasa dihampiri, pihaknya mendapati nelayan itu sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan sehingga tidak sedar kehadiran penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot bernombor pendaftaran KG 93772 TS itu membawa tiga tan ikan campur, dua tan ikan baja serta sotong kering yang dianggarkan seberat hampir 200kg, dipercayai diperolehi dalam perairan negara dan dibawa keluar untuk dijual.
"Kami yakin mereka ini akan menjual hasil tangkapan tersebut dengan harga lebih tinggi dan keseluruhan barang dirampas termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta," katanya pada sidang media di Jeti Pangkalan Maritim Kemaman hari ini.
Menurutnya, kesemua nelayan yang ditahan termasuk bot dirampas akan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Katanya, selain disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, kes berkenaan juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Sementara itu, V Pannir berkata, sehingga hari ini, Maritim Pahang melakukan hampir 273 pemeriksaan dan sembilan tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.
Dalam masa sama, orang ramai disaran memberi kerjasama membantu menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah perairan negara dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pahang (09-5717345).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!