Kereta api tidak berhenti, KTMB gantung tugas kakitangan
KUALA KRAI - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah di atas insiden tren tidak berhenti untuk mengambil pelajar di hentian Kuala Gris, di sini pada Ahad.
KTMB menerusi satu kenyataan mengesahkan kejadian itu melibatkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi.
Syarikat itu turut memaklumkan, hasil siasatan mendapati tren tersebut tidak berhenti di hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi.
"KTMB memandang serius dan kesal dengan kejadian tersebut terutama melibatkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan pada Ahad," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Justeru, KTMB memaklumkan kakitangan yang terlibat telah digantung tugas.
"Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang," katanya.
Sinar Harian Online sebelum itu melaporkan, kira-kira 100 pelajar di Kampung Kuala Gris, Kuala Krai terkandas apabila kereta api yang sepatutnya tiba jam 7 pagi tidak berhenti di hentian tersebut pada Ahad.
Kejadian berlaku ketika Sinar Harian melakukan tinjauan sempena hari pertama persekolahan selepas Kelantan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Rata-rata pelajar yang bersemangat ke sekolah kecewa apabila kereta api yang sepatutnya dinaiki mereka tidak berhenti di Stesen Kuala Gris.
Selepas menunggu 30 minit di hentian tersebut mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan tidak hadir ke sekolah pada hari pertama ini.
Jika hendak ke sekolah mereka perlu menaiki kenderaan sejauh 10 kilometer yang akan mengambil masa 25 minit berbanding menaiki kereta api hanya 17 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!