Lapan sekolah di Pekan tidak dapat dibuka esok

SK Pulau Manis di Pekan tidak dapat meneruskan sesi persekolahan pada Isnin susulan air banjir di kawasan berkenaan masih belum surut.
SK Pulau Manis di Pekan tidak dapat meneruskan sesi persekolahan pada Isnin susulan air banjir di kawasan berkenaan masih belum surut.
A
A
A

PEKAN - Sebanyak lapan sekolah di daerah Pekan tidak dapat dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga bermula Isnin kerana masih terjejas akibat banjir.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, sekolah terlibat membabitkan tujuh Sekolah Kebangsaan (SK) dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang masih ditenggelami air atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, tiga sekolah iaitu SK Temai, SK Pulau Manis dan SK Kampung Acheh masih beroperasi sebagai PPS.

"Walaupun SK Temai dijadikan PPS, kita dapat lihat air masih lagi bertakung di kawasan itu. Kita sudah minta kerjasama Jabatan Pengairan Saliran (JPS) untuk mengepam air di kawasan sekolah terbabit. Kalau tiada halangan, esok atau lusa sudah boleh mula mencuci.

"Setakat ini, lima sekolah yang terlibat dengan kerja pembersihan; antaranya SK Pelak, SK Mambang, SK Paloh Hinai, SK Kinchir dan SMK Paloh Hinai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Razali berkata, kebanyakan sekolah berkenaan terletak berhampiran Sungai Pahang.

Berikutan itu, katanya, terdapat sebahagian sekolah yang masih belum sempat dibersihkan sepenuhnya selepas ditenggelami banjir gelombang kedua pada minggu lalu.

"Kerja membersihkan sekolah yang ditenggelami banjir bermula minggu depan apabila air surut sepenuhnya. Kita terpaksa memohon bantuan pelbagai pihak untuk membantu menjayakan program berkenaan, antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel Berkaitan:

"Di daerah Pekan, sebanyak 22 sekolah di daerah ini dijadikan PPS yang menempatkan 50 hingga 250 mangsa terdiri daripada penduduk setempat," jelas beliau.

Sementara itu, Razali turut meminta pusat pengajian tinggi, persatuan belia, agensi kerajaan dan swasta untuk memberi bantuan tenaga membersih lapan sekolah yang ditenggelami banjir gelombang kedua pada minggu lalu.

Menurutnya, kesan lumpur akibat banjir itu perlu dibersihkan secara gotong-royong.

"Ada sekolah yang ditenggelami air akibat banjir gelombang pertama dan kerja mencuci telah dilakukan. Namun, banjir gelombang kedua pada minggu lalu menyebabkan ia perlu dibersihkan sekali lagi.

"Sebagai contoh, SK Pulau Manis sudah dua kali ditenggelami air. Sekolah berkenaan turut dijadikan PPS dan difahamkan air telah surut pada hari ini (Ahad)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!