Kerajaan cadang bina empat mahkamah baharu di Sarawak

Wan Junaidi pada sidang media selepas melawat Kompleks Mahkamah Kuching di Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama
Wan Junaidi pada sidang media selepas melawat Kompleks Mahkamah Kuching di Petra Jaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan bercadang untuk membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembinaan mahkamah baharu itu melibatkan kawasan Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

Menurut beliau, cadangan projek mahkamah baharu itu kini sedang dipertimbangkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, pembinaan mahkamah baharu di Sarawak adalah penting bagi menampung jumlah kes yang semakin meningkat.

“(Selain itu) saya mendapati masih terdapat banyak mahkamah di Sarawak yang bersidang menggunakan bangunan berkongsi dengan jabatan kerajaan lain.

“(Terdapat juga mahkamah yang) hakim perlu masuk ikut laluan orang awam. Sepatutnya hakim perlu ada jalan belakang untuk naik ke tempat duduk mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching di sini, pada Ahad.

Jelas Wan Junaidi, kerajaan juga bercadang untuk membina satu unit kediaman rasmi buat Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Kuching.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu, di bawah RMK12, kerajaan telah meluluskan sebanyak 14 projek naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah-mahkamah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9,212,700.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek naik taraf ini melibatkan Kompleks Mahkamah Kuching, Kompleks Mahkamah Bintulu, Kompleks Mahkamah Miri, Mahkamah Kota Samarahan, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Sarikei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!