Feri bagi pejalan kaki mula beroperasi seawal 6.30 pagi

Teik Cheng
Teik Cheng
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan feri untuk pejalan kaki akan beroperasi seawal jam 6.30 pagi bermula Isnin selaras dengan pembukaan sesi persekolahan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, perubahan jadual perkhidmatan feri penumpang pejalan kaki khususnya bagi trip pertama dari Butterworth ke bahagian pulau menyaksikan feri bertolak setengah jam lebih awal berbanding jadual semasa ketika ini.

Beliau berkata, trip feri penumpang pejalan kaki yang pertama dari Butterworth ke Pulau Pinang sebelum ini bertolak pada jam 7 pagi disebabkan rekod statistik mendapati jumlah penumpang tidak ramai kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan kerjasama Penang Port Sdn Bhd kini, trip perkhidmatan feri telah diawalkan kepada jam 6.30 pagi bermula 10 Januari ini bagi memberi kemudahan kepada mereka yang akan memulakan sesi persekolahan.

“Selain itu, ruangan menunggu feri penumpang pejalan kaki di Swettenham Pier Cruise (SPCT) telah dipindahkan ke tingkat bawah bangunan tersebut yang pada awalnya berada di tingkat atas susulan pembukaan kembali aktiviti kapal pelayaran pelancongan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Teik Cheng berkata, oleh kerana itu penumpang feri tidak perlu mengambil masa untuk ke tingkat atas seperti sebelum ini.

“Jadual perkhidmatan feri penumpang pejalan kaki juga akan dipinda mengikut keperluan semasa dan permintaan orang awam bagi memastikan hanya perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada mereka.

"Bagi maksud yang sama, kerja-kerja menaik taraf terminal feri di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) sedang giat dilaksanakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Pusat juga bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM30 juta kepada Penang Port Sdn Bhd bagi tujuan pembelian feri-feri baharu.

Beliau berkata, separuh daripada peruntukan itu telah diserahkan kepada Penang Port Sdn Bhd pada 27 Disember lalu dan selebihnya akan diserahkan pada tahun ini.

"SPPP berharap dengan adanya inisiatif untuk menaik taraf terminal-terminal tersebut dan pembelian feri-feri baharu itu, akan mewujudkan perkhidmatan yang lebih moden, kondusif dan selesa kepada para penumpang," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!