Isu Azam Baki: Mohd Asri cadang SPRM dirombak

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan seluruh kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disemak semula dan dirombak.

Beliau berkata, tindakan itu perlu demi keadilan dan ketelusan pentadbiran negara ini berdepan dengan isu pemilikan sejumlah saham membabitkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Kata Mohd Asri, sekiranya negara ini gagal menanganinya, bererti Malaysia berada di tahap korupsi sangat tenat.

"Melihat kepada surat sokongan anggota SPRM kepada bos mereka, maka pada pendapat saya, demi keadilan dan ketelusan pentadbiran negara ini, saya ingin mencadangkan seluruh kepimpinan SPRM disemak semula dan sebolehnya dirombak.

"Bagaimana mungkin mereka boleh membuat keputusan awal bahawa bos mereka menjadi mangsa politik padahal siasatan belum dibuat dan cara beliau menafikan sebelum ini juga tidak masuk akal.

"Mereka sepatutnya bersuara tegas bahawa 'demi menjaga maruah SPRM, kami menuntut satu siasatan adil dan telus dijalankan'. Itu sahaja, tanpa memberikan pembelaan awal dalam hal yang majoriti mempertikaikannya," kata beliau dalam kenyataan, pada Ahad.

SPRM menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi dilapor memberi sokongan penuh terhadap Azam dan berpendirian tohmahan dan serangan dibuat terhadap pemimpin utama agensi itu bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej serta kredibiliti SPRM.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, kenyataan Azam bahawa akaun saham digunakan oleh adik jelas sangat ganjil dan SPRM selaku pihak yang paling sensitif sepatutnya lebih tegas dalam membuat kenyataan bahawa isu tersebut wajib disiasat sehabis-habisnya.

"Menjadi kewajipan semua yang berakal dalam negara ini bangkit menentang rasuah dalam negara ini. Menentang rasuah adalah kewajipan agama yang besar," katanya.

Beliau juga berkata, para agamawan wajar bangkit menentang hal tersebut melebihi kesibukan mereka membincangkan isu dosa dosa peribadi individu yang berlaku antara seseorang dengan tuhannya.

"Rasuah adalah dosa yang menjahanamkan negara, membawa ketidakadilan dan penindasan ke atas orang lain. Kita wajib bangkit dan tentang bersama. Taubat rasuah ialah dengan memohon keampunan ALLAH SWT dan kemaafan awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!