1,500 pokok pisang baru berbuah tenggelam
TANGKAK - Hasrat seorang pemuda untuk menikmati hasil pertama 1,500 batang pokok pisang tanduk tidak tercapai apabila kesemua pokok pisang yang ditanam di kebun Kampung Kurnia Sakti, Bukit Gambir, di sini ditenggelami air, Isnin lepas.
Mohd Shahril Heri, 22, berkata, kebun seluas 0.809 hektar yang diusahakan sejak awal tahun lepas itu, dinaiki air sehingga paras lebih 2.5 meter (m) susulan limpahan air Sungai Muar sejak Isnin lepas.
“Sebelum ini saya begitu gembira apabila melihat pokok mengeluarkan hasil (buah pisang), hampir setahun juga menunggu, namun saya tidak menyangka air boleh naik tinggi hingga memusnahkan tanaman yang saya anggarkan kerugian hampir RM10,000.
“Tetapi saya menganggap ini semua sebagai satu cabaran dan tidak akan mudah berputus asa. Saya reda, apabila surut nanti saya akan usahakan semula kebun pisang itu,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini pada Ahad.
Tinjauan Bernama mendapati, kediaman Mohd Shahril yang berada kira-kira 300m dari Sungai Muar tidak ditenggelami kerana berada di tempat tinggi, namun halaman di depan rumahnya ditenggelami air hingga ke paras pinggang.
Seorang lagi penduduk Kampung Kurnia Sakti, Mansor Mahmood, 57, berkata, hujan tidak lebat pada Ahad lalu, namun air sedikit demi sedikit mula memasuki laman rumahnya dan pada ketika itu, beliau membuat persiapan menyelamatkan dokumen penting selain meletakkan peralatan elektrik di tempat tinggi.
“Saya seperti boleh agak air akan naik kerana pada 2011 juga situasi sama berlaku, malah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) juga selalu memberi peringatan dan membuat pemantauan di sekitar kawasan ini kerana ia berhampiran dengan Sungai Muar.
“Sejak Ahad saya tidak tidur lena dan pada jam 8 pagi, Selasa, air naik dengan deras sehingga paras pinggang, mujur saya sudah bersiap sedia membungkus barang penting dengan plastik,” katanya sambil menambah air ketika ini kelihatan semakin susut memandangkan cuaca di sekitar daerah ini semakin baik.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar berkata, lebih 10 kampung di sekitar Bukit Gambir dinaiki air antaranya Kampung Kurnia Sakti, Kampung Teluk Penchu, Kampung Merigi dan Kampung Penchu.
Menurut beliau setakat ini dua kampung iaitu Kampung Merigi dan Kampung Pengkalan Kota terputus bekalan kerana laluan ditenggelami air.
“Terdapat 10 pusat pemindahan sementara yang beroperasi di Bukit Gambir menempatkan 549 mangsa daripada 169 keluarga dan bomba dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan di kawasan berisiko,” katanya.
Sebelum itu, Mohd Farizan menyampaikan bantuan makanan dan barangan keperluan, sumbangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Kurnia Sakti bagi meringankan beban mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!