Suspek sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang suspek dalam kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Al Batsh Fatma telah ditahan.
Pengesahan mengenai tahanan itu dibuat oleh pihak berkuasa Palestin dalam satu kenyataan namun tidak didedahkan lokasi serta tarikh penahanannya.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara, Iyad Albizm, berkata, siasatan terus dijalankan oleh Keselamatan Dalam Negeri, susulan kejadian pembunuhan itu.
Menurutnya, suspek yang ditahan mengaku menerima arahan Mossad.
"Pengakuan seorang yang sedang dalam tahanan menunjukkan penglibatannya dalam pembunuhan asy-syahid Albatsh atas arahan agensi Mossad Israel.
"Siasatan dalam kes itu masih diteruskan," katanya menerusi kenyataan ringkas diterima media pada Ahad.
Media Malaysia melaporkan pengintip Israel yang didakwa membunuh Fadi Mohammed Al Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 dikatakan dalam kalangan orang Palestin dan ditahan di Gaza.
Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran di Facebook, pada pagi Ahad.
“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Pada 2018, Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.
Dalam kejadian itu, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW bertindak melepaskan tembakan jarak dekat dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.
Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!