Lapan pamer aksi zig-zag ditahan polis
KUALA LUMPUR - Seramai lapan lelaki disyaki menunggang motosikal secara berbahaya ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Utara pada Ahad.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi itu dilaksanakan oleh sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman.
"Kumpulan terbabit dikesan melakukan aksi bersaing sesama sendiri, menundukkan badan dan aksi zig-zag bermula dari Kilometer (KM) 402 sehingga di KM 397 Lebuhraya Plus arah Utara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Nadzri berkata, pihaknya mendapati lima penunggang telah memberhentikan motosikal mereka di sebuah stesen minyak pada 12.10 tengah hari.
"Tiga lagi penunggang telah memberhentikan motosikal mereka dalam keadaan baik dan selamat di bahu jalan KM 395.5 Lebuhraya Plus arah Utara," katanya.
Mohd Nadzri berkata, pihaknya telah menahan kesemua lapan penunggang lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun.
"Semua motosikal jenis Honda RS150R, Yamaha 135LC, Yamaha RXZ dan Yamaha Y15ZR telah disita untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, soal siasat mendapati kumpulan terbabit telah berkumpul di Plaza Tol Jalan Duta, kemudian meneruskan perjalanan ke Ipoh Perak untuk makan nasi ganja.
"Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.
Mohd Nadzri memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!