Presiden PSM: Zuraidin tunggu 'restu'

Zuraidin
Zuraidin
A
A
A

“SAYA hanya akan menawarkan diri bertanding jawatan Presiden sekiranya mendapat 'restu' daripada persatuan negeri dan ahli bersekutu Persatuan Sepak Takraw (PSM) lain."

Itu reaksi Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah ketika ditanya perkembangan terkini status kepimpinan tertinggi sepak takraw Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut menjelang pemilihan barisan baharu PSM yang dijadualkan 12 Februari depan.

Jelas Zuraidin lagi, beliau buat masa ini belum mendapat sebarang ilham untuk menawarkan diri untuk jawatan kerusi nombor satu PSM tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) itu.

“Sekiranya ada isyarat daripada ahli gabungan dan bersekutu PSM lain bahawa saya perlu bertanding, saya bersedia menawarkan khidmat terbaik demi kemajuan sukan sepak takraw negara.

“Jika pencalonan itu bagi isyarat yang memerlukan saya bertanding, maka saya akan menawarkan diri,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod jawatan nombor satu PSM itu kosong selepas Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya pada 4 Jun lalu susulan badan induk sepak takraw negara tersebut terpalit isu dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Pada masa sama Zuraidin berharap AGM PSM itu akan menjadi lembaran baharu dalam usaha badan induk tersebut mengemukakan permohonan baharu untuk kembali menjadi ahli gabungan ASTAF.

“Alhamdulillah, saya bagi pihak GASTAK bersyukur kita dapat selesaikan masalah serta kekusutan akibat kemelut yang menyebabkan ketidaktentuan yang agak lama mulai April 2021 lalu sehinggalah sekarang.

Artikel Berkaitan:

“Kita sudah bersetuju untuk mengadakan AGM ini pada 12 Februari depan dengan agenda utamanya adalah untuk memilih barisan kepimpinan PSM baharu.

“Setelah selesai AGM, barulah kita kemukakan permohonan kepada ASTAF untuk kembali menjadi ahli gabungan kerana tak ada gunanya kita berjaya mengadakan pemilihan, namun masih berada di luar badan induk sepak takraw Asia itu kerana kita pasti ketinggalan daripada segi kejohanan, pengadilan, dan pelbagai lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!