Bukti kewibawaan FAM

Laporan Sukan Sinar sebelum ini.
Laporan Sukan Sinar sebelum ini.
A
A
A

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menubuhkan badan siasatan bebas Harimau Malaya yang dianggotai orang luar dari badan induk tersebut disifatkan sebagai tindakan bertanggungjawab.

Malah, penubuhan badan itu secara keseluruhannya bertujuan bagi mengenal pasti perkara sebenar yang berlaku hingga mendorong kepada kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020, Disember lalu.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa penubuhan badan siasatan bebas itu menunjukkan kewibawaan FAM dalam membantu mengurangkan keresahan dalam kalangan komuniti bola sepak negara pada ketika ini.

“Penubuhan badan siasatan bebas itu adalah satu-satunya kaedah bagi memperlihatkan FAM sebagai sebuah badan yang sedia mendengar selain sedia melakukan perubahan bagi memastikan kejayaan bola sepak negara.

“Badan siasatan bebas juga memperlihatkan FAM bersedia membuat perubahan dengan individu-individu yang terlibat dan malah mereka ini akan turut dipertanggungjawabkan untuk meneliti laporan yang dikemukakan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada Jumaat, FAM menubuhkan badan siasatan bebas yang dianggotai individu-individu di luar badan induk berkenaan bagi mengetuai bedah siasat susulan kegagalan skuad Harimau Malaya di Singapura, bulan lalu.

Tambah Mohd Sadek, penubuhan badan siasatan bebas itu juga sesuai berbanding dengan siasatan dalaman.

“Ada pihak kata, sepatutnya buatlah siasatan dalaman dahulu sebelum tubuh badan siasatan bebas ini tetapi sebenarnya, siasatan dalaman sebenarnya hanyalah melibatkan skop kecil berbanding penubuhan badan siasatan bebas, walaupun saya pernah kata bahawa tak perlu pun wujud badan siasatan bebas berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Namun dengan penubuhan badan siasatan bebas ini, diharapkan ia benar-benar telus, bebas selain individu yang terpilih bagi menganggotai badan berkenaan perlulah benar-benar bebas dan tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Mengenai pelantikan Dell Akbar bagi mengetuai badan siasatan bebas itu, Mohd Sadek berkata, ia bersesuaian dengan pengalaman dimiliki Dell Akbar yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM dari 2000 hingga 2005 lalu selain pernah menjadi pengurus skuad kebangsaan lewat 90-an.

Katanya, pengalaman itu boleh dimanfaatkan oleh Dell Akbar bagi memastikan siasatan yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

“Bagi saya, pelantikan Dell Akbar ini ada kriteria berdasarkan kepada pengalamannya yang pernah terlibat selaku Setiausaha Agung FAM dan pernah menguruskan skuad kebangsaan sebelum ini.

“Jadi, dia dah tahu semua perkara termasuk persiapan yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejohanan termasuk dari segi aspek pengurusan pemain, jurulatih, kebajikan pemain dan sebagainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!