Isu Azam Baki terus hangat, AMK anjur protes di Putrajaya hari ini
SHAH ALAM - Isu pemilikan saham membabitkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka terus menjadi topik hangat minggu ini.
Kehangatan isu itu dijangka bermula dengan Konvoi Protes Selamatkan SPRM yang dijangka berlangsung di Dataran Putrajaya pada jam 10 pagi hari ini.
Berdasarkan poster jemputan diterima pihak media, protes berkenaan dipercayai dianjurkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang sebelum ini dilapor telah membuat laporan polis terhadap Azam.
Gerakan tersebut juga dijangka menyentuh mengenai kenyataan terbaharu SPRM semalam yang diibaratkan seperti mencurahkan minyak ke dalam api apabila agensi yang sepatutnya berpendirian lebih tegas seolah-olah memberikan pembelaan lebih awal terhadap isu yang sedang mengundang kemarahan majoriti rakyat.
Kenyataan bersama dikeluarkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi itu menyatakan pendirian mereka memberi sokongan terhadap Azam
Kenyataan itu juga menyifatkan tohmahan dan serangan dibuat terhadap Azam adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
"Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama," menurut kenyataan yang dilaporkan semalam.
Perkembangan itu seterusnya mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kelihatan agak kurang senang dengan kenyataan terbaharu SPRM itu lalu mencadangkan seluruh kepimpinan agar SPRM disemak dan dirombak semula.
Katanya, tindakan itu perlu demi keadilan dan ketelusan pentadbiran negara dan sekiranya negara ini gagal menanganinya, bererti Malaysia berada di tahap korupsi sangat tenat.
"Bagaimana mungkin mereka boleh membuat keputusan awal bahawa bos mereka menjadi mangsa politik padahal siasatan belum dibuat dan cara beliau menafikan sebelum ini juga tidak masuk akal.
"Mereka sepatutnya bersuara tegas bahawa 'demi menjaga maruah SPRM, kami menuntut satu siasatan adil dan telus dijalankan'. Itu sahaja, tanpa memberikan pembelaan awal dalam hal yang majoriti mempertikaikannya," kata beliau dalam kenyataan dilaporkan semalam.
Sementara itu, satu sidang media oleh Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dijangka berlangsung pada jam 11 pagi di ibu pejabat SPRM hari ini.
Bagaimanapun tujuan sidang media berkenaan tidak dapat dikenal pasti. Justeru adakah akan ada penjelasan yang bakal menjawab segala pertikaian yang wujud atau sekurang-kurangnya mengumumkan keputusan untuk meneruskan siasatan badan bebas?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!