Siasatan kes profil tinggi: Ketelusan beri impak kepada pelabur

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan melakukan siasatan penuh serta terperinci terhadap kes-kes berprofil tinggi berpotensi menjadikan sesebuah negara berdepan situasi sukar untuk menarik minat pelabur.

Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, bahkan ia juga boleh meletakkan Malaysia sebagai destinasi kurang dipercayai.

Menurut Nurhayati, ketirisan dalam siasatan terhadap kes-kes melibatkan salah guna kuasa dan konflik kepentingan dilihat akan menggagalkan sasaran untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah ekonomi yang dipercayai.

Katanya, ketika negara berdepan dengan dunia persaingan dan liberalisasi ekonomi yang cukup tinggi, Malaysia seharusnya lebih berani menangani isu-isu salah guna kuasa bagi menjadikan negara ini sebagai contoh terbaik dalam kredibiliti pengurusan dan pentadbiran.

Tegasnya, tanda aras yang boleh menentukan tahap ekonomi cemerlang bakal ditentukan oleh nilai integriti yang dipamerkan sesebuah negara.

“Perkara seumpama itu yang akan menjemput pelabur asing masuk ke Malaysia dek kerana tahap ketelusan tinggi dan berintegriti.

“Sekiranya ia gagal disempurnakan, pastinya pelabur akan melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak telus dalam mengurus hal ehwal pentadbiran terutama melibatkan pemimpin-pemimpin di peringkat tertinggi,” katanya pada Ahad.

Beliau mengulas isu melibatkan seorang pemimpin tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan isu pemilikan saham.

Artikel Berkaitan:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan mengesahkan menerima satu laporan yang dibuat terhadap pemimpin tertinggi SPRM tersebut pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan menyatakan laporan tersebut sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengulangi pendirian beliau tidak bersalah berhubung kontroversi pemilikan saham olehnya.

Nurhayati berkata, solusi kepada isu pemilikan saham oleh pemimpin tertinggi SPRM itu boleh ditentukan menerusi siasatan penuh yang dilakukan secara adil dan telus.

Beliau menjelaskan, keadilan dan ketelusan itu hanya dapat ‘diangkat’ sekiranya SPRM melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya sebagai sebuah entiti tanpa sebarang kecenderungan terhadap kepentingan mana-mana pihak.

“Inilah dasar tuntutan Rasuah Busters yang mahukan SPRM menjadi badan bebas di bawah Parlimen seperti dalam Enam Tuntutan #RasuahBusters yang dilancarkan pada 11 September lalu.

“Insiden melibatkan pimpinan tertinggi SPRM membuktikan tuntutan tersebut perlu perlaksanaan segera demi mengelak persepsi negatif terhadap badan awam tersebut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!