72 PPV beri dos penggalak dibuka di Terengganu
KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah mengaktifkan 72 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini bagi memastikan proses pemberian suntikan vaksin dos penggalak berjalan lancar.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu melibatkan operasi 24 PPV klinik kesihatan kerajaan, PPV klinik swasta (39), PPV hospital swasta (dua) dan tujuh PPV 'off-site'.
“Empat PPV 'off-site' ini beroperasi di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu, Dewan Sivik Bijangga, Dungun, Dewan Gong Kemuntong, Besut dan Rimba Square di Kuala Nerus.
“Bermula hari ini (10 Januari), tiga lagi PPV 'off-site' mula dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Tepoh, Kuala Nerus, Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun dan lot perkedaian Padang Laban, Bukit Payong, Marang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dr Kasemani berkata, pembukaan lebih banyak PPV diharap dapat meningkatkan kapasiti pemberian suntikan sekali gus memenuhi hasrat kerajaan memastikan penerima yang layak mendapat dos penggalak selewat-lewatnya Februari ini.
Beliau berkata, setakat ini seramai 179,300 orang atau 24.9 peratus daripada jumlah populasi rakyat Terengganu sudah menerima dos penggalak sejak suntikan itu mula diberikan kepada umum sehingga Sabtu.
Sementara itu, mengulas mengenai jangkitan varian baharu Covid-19 iaitu Omicron di negeri ini, Dr Kasemani berkata, terdapat lapan kes Omicron direkodkan di Terengganu namun tidak mencetuskan sebarang kluster.
Jelas beliau, setakat ini Terengganu merekodkan sebanyak 1,150 kes positif Covid-19 aktif.
"Daripada jumlah itu, 391 individu sedang menerima rawatan di hospital dan dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) manakala baki 759 pesakit lagi hanya dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
“Saya harap orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal jangkitan Covid-19 lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu Omicron,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!