Mangsa banjir di Johor, Melaka semakin berkurangan, Pahang kekal

Jumlah mangsa banjir di Johor terus susut kepada 3,161 orang daripada 913 keluarga setakat jam 8 pagi Isnin.
Jumlah mangsa banjir di Johor terus susut kepada 3,161 orang daripada 913 keluarga setakat jam 8 pagi Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Melaka dan Johor semakin pulih apabila mangsa banjir di dua negeri berkenaan menurun pada pagi Isnin manakala Pahang tidak berubah.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus susut kepada 3,161 orang daripada 913 keluarga setakat jam 8 pagi berbanding 3,441 individu, petang Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 40 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,246 orang, diikuti Muar (1,107), Tangkak (678) dan Batu Pahat (130).

"Terdapat tujuh PPS telah ditutup di Segamat iaitu Balai Raya Sekolah Kebangsaan Mensudut lama, Bukit Limau Manis, Kampung Chodan, Dewan Serbaguna Kampung Paya Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh, Surau Al-Muhtadeen dan Dewan Serbaguna Taman Sri Alam 2," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, lima sungai masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; serta Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Sungai Muar di Panchor, Sungai Muar di Liang Batu, dan Sungai Muar di Bukit Kepong, yang kesemuanya terletak di Muar.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di Melaka kini berjumlah 258 orang daripada 72 keluarga pagi ini dengan semuanya masih ditempatkan tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir pagi Isnin seramai 141 orang di empat PPS di tiga daerah, tidak berubah dari malam Ahad, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 66 orang melibatkan mangsa banjir tengkujuh yang bermula pertengahan bulan lepas manakala mangsa di Rompin (40 orang) dan Maran (35 orang) merupakan mangsa bah gelombang kedua yang berlaku pada hari pertama 2022.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca di tiga daerah terlibat tidak hujan sepanjang hari. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!