Melaka sasar 20 juta pelancong tahun ini
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri disaran memperkasa sektor pelancongan dengan mempromosi Melaka secara berterusan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong.
Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob berkata, kejayaan negeri ini menarik kira-kira 17.02 juta pelancong sepanjang tahun lalu melebihi sasaran perlu diteruskan bagi membolehkan sasaran 20 juta pada tahun ini dapat dicapai memandangkan Melaka turut meraikan Tahun Melawat Melaka 2019.
Menurutnya, kecemerlangan Melaka yang pernah menganjurkan program dan acara berprestij antarabangsa perlu diteruskan dan diperbanyakkan, di samping memantapkan jaringan perniagaan berskala besar.
Katanya, ini termasuk membina jaringan dengan pemain industri pelancongan antarabangsa yang berpotensi mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul berdasarkan status sebagai Bandaraya Melaka Warisan Dunia oleh UNESCO serta meneruskan kerjasama antara Wilayah Guangdong, China.
"Promosi kepada pelancong tempatan juga perlu diperhebat memandangkan mereka menyumbang hampir 67 peratus daripada kedatangan pelancong ke negeri ini, di mana dari segi kebersihan, perkhidmatan dan keberadaban baik akan menarik pelancong datang semula atau tinggal lebih lama di Melaka," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!