Kapasiti 50 peratus majlis akad nikah, kenduri di Kelantan
KOTA BHARU - Majlis akad nikah dan kenduri di Kelantan dibenarkan dengan pematuhan 50 peratus kapasiti ruang premis dan penjarakan fizikal, setelah negeri ini berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pelaksanaan itu tertakluk kepada individu yang telah lengkap menerima vaksin dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun juga dibenarkan hadir dengan mematuhi protokol kesihatan umum.
"Jaheaik menerusi Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam turut memutuskan semua kursus praperkahwinan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) dijalankan secara dalam talian.
"Begitu juga dengan Khidmat Nasihat dan Runding Cara akan dijalankan secara dalam talian serta bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebarang arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa adalah terpakai dan arahan pentadbiran yang dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal.
Kelantan beralih ke Fasa 4 PPN berkuat kuasa 3 Januari lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!