SIP belum diperkenalkan kepada individu bekerja sendiri

Kulasegaran
Kulasegaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga Manusia belum bersedia membuka Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka yang bekerja sendiri selain daripada pemandu teksi.

Menterinya M. Kula Segaran berkata kementerian melalui Perkeso sudah memperkenalkan jaringan keselamatan sosial kepada individu bekerja sendiri melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang memberikan perlindungan kemalangan sewaktu bekerja.

“Perkeso berpegang kepada konsep solidariti iaitu “mengumpul sumber, berkongsi risiko”. Perkeso perlu mengkaji implikasi perluasan liputan dan pelaksanaannya dari segi kebolehidupan skim itu...,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) sama ada Perkeso mempertimbangkan untuk membuka SIP kepada mereka yang bekerja sendiri.

Kula Segaran berkata Perkeso akan sentiasa berusaha memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada semua sektor pekerjaan sama ada sektor formal mahupun tidak formal.

Kebanyakan negara melaksanakan SIP secara konservatif iaitu bagi pekerjaan yang bergaji tetap di sektor swasta.

“Bagaimanapun, terdapat negara-negara yang telah meluaskan liputan kepada individu yang bekerja sendiri termasuk kategori pekerjaan secara sukarela dengan syarat tertentu seperti di Denmark dan Jerman,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!