Priyadarshimi wakili Malaysia pertandingan ratu cantik buat kali kedua
KUALA LUMPUR - Priyadarshimi MM Pellay Rameash akan mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik Mrs World buat kali kedua.
Mrs Malaysia World secara rasmi telah melantik Priyadarshimi, 26, sebagai Mrs Malaysia World 2021, yang sebelum ini telah memenangi Mrs Malaysia World 2020 dan berada pada kedudukan 20 terbaik dalam pertandingan Mrs World 2020.
Pengarah Nasional Mrs Malaysia World dan Pengarah Urusan Mrs Malaysia World Sdn Bhd, Datin Harveen Kaur berkata, Priyadarshimi akan bersaing dengan wakil dari lebih 60 negara untuk merebut gelaran Mrs World 2021 di WestGate Las Vegas Resort & Casino di Amerika Syarikat bermula 9 hingga 16 Januari ini.
"Kami di Mrs Malaysia World dan Mrs Malaysia World Sdn Bhd mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepadanya,” katanya.
Mrs Malaysia World Sdn Bhd ditubuhkan pada 2018 oleh pakar bius terkemuka Datuk Dr Kattayat Mohandas di Kuala Lumpur.
Harveen Kaur berkata Mrs Malaysia World Sdn Bhd telah menerima taraf tanda dagangannya, sekali gus menjadikannya syarikat pertandingan ratu cantik bagi wanita berkahwin, tanpa mengira status, yang pertama diiktiraf di Malaysia.
"Bilangan pertandingan ratu cantik palsu yang tumbuh bagai cendawan di Malaysia kini sangat membimbangkan, justeru sangat penting bagi sesebuah pertandingan ratu cantik diaudit oleh golongan profesional yang bertauliah dan ketelusan mestilah ditunjukkan dalam semua aspek,” katanya.
Beliau berkata, Mrs Malaysia World Sdn Bhd bertanggungjawab sepenuhnya dalam menganjurkan acara tahunan Pertandingan Ratu Cantik Mrs Malaysia World dan pertandingan itu adalah satu-satunya pusingan awal rasmi untuk memasuki pertandingan ratu cantik untuk wanita berkahwin pertama di dunia, Mrs World Inc, yang diasaskan mendiang David Marmel pada 1984.
"Kita telah mencipta sejarah pada Mrs World 2019 apabila Kokilam Kathirvailu menjadi rakyat Malaysia pertama menduduki tiga tempat terbaik dalam sejarah Mrs Malaysia World,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!