Jurutera didenda RM6,000 jual gambar lucah
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Padah menjual gambar lucah dengan harga RM100 melalui aplikasi Telegram menggunakan akaun ‘Menteri Pasola’, seorang duda yang juga jurutera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Mohd Azri Zahari, 34, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Dia selaku Orang Kena Saman (OKS) dikehendaki menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial (menjual) kepada seorang lelaki lain menggunakan aplikasi itu.
Gambar lucah itu kemudiannya dilihat di sebuah rumah di Bandar Sunway di sini, pada jam 8.21 malam, 4 Mac 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, peguam, Syed Amirul Syed Edros yang mewakili OKS, merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah kerana dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
"OKS merupakan penanggung utama keluarga dan memilih untuk mengaku bersalah pada peringkat awal pertuduhan sekali gus menjimatkan masa mahkamah," katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Nazrul Hizam Mohd Zameri berkata, mahkamah perlu menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira tindakan OKS seolah-olah menjual harga diri mangsa.
Syed Amirul sebelum itu memberitahu mahkamah anak guamnya menjual gambar lucah itu bukan bertujuan menambah pendapatan tetapi mengalami tekanan kerana menghadapi masalah rumah tangga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!