Lega anak-anak kembali belajar secara bersemuka

Zawawi (tengah) ketika menghantar tiga anaknya yang bersekolah di SK Tanjung Minyak pada Isnin.
Zawawi (tengah) ketika menghantar tiga anaknya yang bersekolah di SK Tanjung Minyak pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pembukaan semula sesi persekolahan pada Isnin memberi kelegaan kepada ibu bapa kerana anak-anak mereka tidak lagi menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak mendapati seawal jam 6.30 pagi ibu bapa telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu.

Seorang suri rumah yang ditemui, Rosnisa Yahya, 37, berkata, biarpun masih berpantang selepas 42 hari melahirkan anak kelima, namun dia tetap menghantar dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun ke sekolah berkenaan.

Menurutnya, dia sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya untuk ke sekolah selain turut mahu mendaftarkan seorang lagi anaknya yang berusia lima tahun untuk mengikuti pra sekolah di sekolah yang sama.

"Bila sekolah dah buka, kita sebagai ibu bapa lega, memang anak ada ikut PdPR, namun kurang berkesan sehinggakan terpaksa menelefon guru kalau ada yang mereka tidak faham.

"Sebab ada subjek yang kita tidak mahir, jadi bila sekolah buka anak-anak pun gembira," katanya.

Bagi operator kilang, Zawawi Yakub, 46, dia mengakui belajar di sekolah lebih mudah kerana anak-anak akan lebih berdisiplin berbanding di rumah apabila mereka sukar untuk memberi perhatian selain suka bermain.

Malah katanya, empat daripada lima anaknya yang bersekolah masih menggunakan kelengkapan persekolahan yang lama termasuk baju sekolah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia perlu berjimat selain bimbang sekiranya sekolah ditutup semula sekali gus akan menyebabkan berlakunya pembaziran.

"Macam tahun lalu saya membelanjakan kira-kira RM500 hingga RM1,000 untuk kelengkapan sekolah anak termasuk seorang anak yang sekarang belajar di kolej.

"Dah semua beli baharu namun hanya beberapa bulan sahaja anak-anak bersekolah jadi risau kalau beli yang baharu lagi kita tak pasti sekolah akan beroperasi seperti biasa atau tidak," jelasnya.

Bagi Khairul Saleh, 43, pula dia tiada masalah untuk mengejutkan dua orang anaknya Maya Darwiesyah, 10 dan Damia Melissa, 12, selain mereka bersemangat untuk ke sekolah seperti biasa.

Menurutnya, dia yakin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak sekolah seperti mengambil suhu badan dan penjarakan fizikal untuk membedung penularan Covid-19 dalam kalangan murid.

"Jadi ibu bapa pun tidak bimbang, bila anak-anak dapat kembali belajar secara bersemuka ia mudahkan lagi mereka untuk memberi tumpuan berbanding belajar di rumah," katanya.

Iqmal Haqim
Iqmal Haqim

Sementara itu, pekerja swasta, Iqmal Haqim Rosman, 29, berkata, sejak dua minggu lalu dia melarang anaknya menggunakan telefon bimbit dan memastikan anaknya tidur awal agar untuk ke sekolah.

"Saya meletakkan kepercayaan kepada sekolah untuk menguruskan murid-murid termasuk guru dalam memastikan pandemik Covid-19 tidak berlaku di sekolah.

"Saya yakin pihak sekolah akan menyediakan keperluang yang terbaik untuk murid-murid. Malah dengan cara kembali belajar secara bersemuka di sekolah mereka lebih mudah faham apa yang diajar berbanding PdPR," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!