Kutipan zakat di Wilayah Persekutuan meningkat RM828 juta

Idris (berdiri, tiga dari kiri) bersama pembayar zakat yang menang cabutan bertuah bagi Kempen Year End Zakat.
Idris (berdiri, tiga dari kiri) bersama pembayar zakat yang menang cabutan bertuah bagi Kempen Year End Zakat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kutipan zakat di Wilayah Persekutuan (WP) bagi tahun 2021 meningkat sebanyak sembilan peratus kepada RM828 juta berbanding RM761 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ia melibatkan kutipan zakat harta sebanyak RM816 juta dan zakat fitrah dengan RM12 juta daripada 1.15 juta pembayar zakat.

Menurutnya, walaupun berdepan situasi Covid-19 namun Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan berzakat kepada masyarakat melalui promosi dan dakwah.

"PPZ dan MAIWP sentiasa proaktif dalam memastikan kesedaran menunaikan zakat dalam kalangan masyarakat terus meningkat agar nasib asnaf di Wilayah Persekutuan terus terbela.

"Penutupan beberapa sektor ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu telah menyebabkan ramai menjadi 'instant asnaf' terutama yang bekerja sendiri dan memerlukan bantuan.

"Ia dapat dilihat melalui peningkatan sebanyak 14,746 penerima pada 2020 iaitu daripada 201,779 orang kepada 216,515 penerima bantuan secara langsung dari dana zakat MAIWP," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan di Wisma PPZ pada Isnin.

Katanya, sepanjang tahun lalu, pihak MAIWP telah mengambil langkah proaktif melaksanakan program agihan dalam tempoh pandemik dan bencana alam yang secara langsung meningkatkan keyakinan pembayar zakat.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak RM106 juta telah diagihkan kepada golongan terjejas dengan pandemik sejak PKP 1.0 hingga PKP 3.0 menerusi pelbagai inisiatif dan kumpulan sasar termasuk pengusaha dan pemandu teksi, e-hailing serta bas sekolah.

"MAIWP juga mengambil inisiatif pemberian vaksinasi kepada asnaf menerusi PPV (Pusat Pemberian Vaksin) bergerak dan menjalin kerjasama bersama badan bukan kerajaan menerusi gerobok rezeki di sekolah, masjid, surau serta tabika MAIWP," katanya

Selain itu katanya, MAIWP memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM35 juta di bawah Program Sentuhan Kasih MAIWP - Misi Banjir 2.0 bagi meringankan beban mangsa terjejas.

Jelasnya, sehingga Disember lalu, MAIWP telah membuat agihan sebanyak RM725 juta menerusi 30 Skim Bantuan Bailtulmal MAIWP meliputi Institusi Pendidikan dan Kebajikan, perbelanjaan pengurusan, bayaran amil serta perbelanjaan pembangunan dan penyelenggaraan prasarana umat Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!