Polis New Zealand tarik balik arahan tutup bandar
CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Polis New Zealand hari ini menarik balik arahan penutupan bandar Christchurch selepas insiden serangan bersenjata yang mengorbankan 40 nyawa di dua masjid di tengah bandar di sini, hari ini.
Menurut polis New Zealand, tindakan itu bagi membolehkan ibu bapa mengambil anak mereka yang berlindung di sekolah-sekolah.
“Polis kini mengesahkan bahawa penutupan semua sekolah di seluruh Christchurch ditarik balik,” menurut polis seperti dilapor AFP.
ARTIKEL BERKAITAN: 40 maut kes tembak serangan jemaah masjid New Zealand
Polis juga turut mengarahkan semua masjid di seluruh New Zealand untuk menutup pintu demi keselamatan jemaah.
Insiden tembakan di sebuah masjid di Christchurch yang disiarkan secara 'live' oleh pelakunya mengejutkan seluruh dunia.
Kejadian itu juga menyebabkan seorang rakyat Malaysia cedera.
Sementara itu, seorang rakyat Malaysia melalui laman Facebooknya berkongsi pengalaman, dia berada di bandar ini ketika berlakunya tragedi mengejutkan itu.
"Alhamdulillah, saya selamat. Selepas mendapat tahu serangan ini, kami terus pulang ke rumah masing-masing dan menunggu apa langkah-langkah seterusnya yang diberitahu oleh kerajaan buat masa sekarang.
"Kerana ada beberapa kawan yang bekerja di hotel dan tempat kerja mereka tidak boleh keluar dari situ atas faktor keselamatan," kata Wafi Shaik yang turut dihubungi Bernama Radio.
Difahamkan Wafi di sana sendirian dan tinggal rumah rakannya di Christchurch.
"Larangan itu berkuat kuasa hari ini dan kami masih menunggu perkembangan untuk esok dan seterusnya. Semua masjid dilarang dikunjungi dan mereka yang berada di jalan raya, polis minta pulang segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!