SWCorp kutip 82,850 tan sisa pepejal di negeri terjejas banjir
HULU LANGAT - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengutip 82,850 tan sisa pepejal di enam negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini setakat Ahad
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib berkata, jumlah itu melibatkan Selangor dengan pengutipan sisa pepejal tertinggi iaitu sebanyak 48,589 tan, diikuti Pahang (32,000 tan), Negeri Sembilan (1,400 tan), Kuala Lumpur (630 tan), Melaka (131 tan) manakala proses pengutipan di Johor kini mencecah hampir 100 tan.
“Sebahagian besar bahan buangan ini terdiri daripada bahan-bahan dimiliki oleh tuan rumah yang musnah akibat banjir, nilainya kita tidak boleh lagi anggarkan (setakat ini) tetapi memang agak besar.
“Bahan buangan ini termasuk barangan elektrik yang tidak boleh dibaiki seperti televisyen,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program SWCorp Bersamamu di Taman Sri Nanding pada Isnin.
Program SWCorp Bersamamu yang bertujuan membaik pulih peralatan elektrik pasca banjir itu turut disertai Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Ismail Mokhtar.
Sementara itu, Awang berkata, antara sukarelawan yang terlibat pada program itu membabitkan agensi kemahiran di bawah Jabatan Tenaga Manusia seperti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) serta Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat mengurangkan bebanan penduduk susulan banjir selain memberi pendedahan kepada pelatih institut latihan kemahiran terlibat di lapangan serta terus membudayakan amalan kesukarelawanan.
“Ini tanggungjawab kita untuk membantu rakyat supaya dapat meringankan bebanan mereka pada pasca banjir ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!