Kerajaan digesa wajibkan bank beri moratorium

Gambar hiasan. Gambar kecil: Shahrul Nasrun
Gambar hiasan. Gambar kecil: Shahrul Nasrun
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mewajibkan semua institusi perbankan melaksanakan moratorium secara automatik kepada semua peminjam dalam usaha meringankan beban ekonomi rakyat.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, ia adalah masa sesuai untuk pihak bank memainkan peranan dan tanggungjawab sosialnya membantu peminjam yang selama ini membantu institusi perbankan mencatat keuntungan berganda.

Menurutnya, pada masa yang sama, rakyat juga tidak perlu mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika kemudahan moratorium itu dilaksanakan.

“Dalam situasi negara dan rakyat yang masih lagi dibelenggu tekanan ekonomi kesan pandemik Covid-19 dan sekarang ditambah bencana banjir luar biasa menyebabkan ramai terkesan, institusi perbankan perlu memberi pertimbangan sewajarnya untuk membantu rakyat dan kerajaan.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan secara berterusan semata-mata tanpa memandang kesukaran peminjam yang selama ini menyumbang keuntungan kepada anda,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shahrul Nasrun berkata, moratorium kepada semua kategori peminjam tidak akan merugikan institusi perbankan kerana kelonggaran pembayaran itu tidak akan mengurangkan faedah bank.

“Kerajaan wajar mengarahkan kesemua bank memberikan moratorium untuk membantu rakyat yang majoritinya mempunyai ikatan pinjaman dengan institusi perbankan", ujarnya.

Tambah beliau, lebih banyak impak positif sekiranya kemudahan berkenaan diberikan kepada semua peminjam, sekali gus dapat membantu proses pemulihan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

“Tidak ada satu pun institusi perbankan di negara ini yang muflis setakat ini kerana memberikan moratorium, tetapi sebaliknya rakyat yang menjadi peminjam ramai yang telah muflis akibat kekangan kewangan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!