Empat lejen Yoep ketuai bahagian teknikal Perak FC

Yusri (kanan) dan Wing Hoong bersama pasukan ketika sesi latihan Perak FC. FOTO PERAK FC
Yusri (kanan) dan Wing Hoong bersama pasukan ketika sesi latihan Perak FC. FOTO PERAK FC
A
A
A

KELAB Liga Premier, Perak FC mempertaruhkan empat bekas legenda Kejor Yeop Kejor bagi mengetuai bahagian teknikal kelab tersebut bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Yunus Zakaria, empat pemain terbabit ialah Faizal Zainal, Yusri Che Lah, Chan Wing Hoong dan Ahmad Shahrul Azhar dilantik mengisi empat kekosongan utama sekali gus menunjukkan kesediaan kelab untuk kembali memartabatkan imej bola sepak Perak.

"Faizal Zainal dilantik sebagai Pengurus Perak FC manakala Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih bersama dibantu Penolong Ketua jurulatih Chan Wing Hoong manakala dan Ahmad Shahrul Azhar pula bertanggungjawab sebagai pengarah kelab.

"Pelantikan keempat-empat dalam bahagian teknikal kelab bertanggungjawab memastikan pemain-pemain lebih bersedia untuk perlawanan pada masa depan.

"Keempat-empat yang dilantik memang tidak asing lagi dalam arena bolasepak tempatan dan mempunyai pengalaman terkumpul hampir tiga dekad," katanya pada Isnin.

Dari kiri: Yusri Che Lah, Chan Wing Hoong dan Ahmad Shahrul Azhar
Dari kiri: Yusri Che Lah, Chan Wing Hoong dan Ahmad Shahrul Azhar

Jelas Yunus lagi, Perak FC yakin bahawa pelantikan Faizal, Yusri, Wing Hoong dan Shahrul penting untuk memantapkan semangat dan persembahan pemain The Bos Gaurus sekali gus transformasi kelab secara keseluruhannya.

"Mereka mula bertugas dan melatih pemain bagi musim baharu Liga Premier,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum menyertai Perak FC, Faizal Zainal merupakan Setiausaha Eksekutif di Negeri Sembilan FC sementara Yusri merupakan Ketua Jurulatih MSN-FAM.

Wing Hoong sebelum ini menggalas tanggungjawab jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden Bawah 21 (B-21) Penang FC manakala Ahmad Shahrul pula merupakan Pegawai Komunikasi dan Pembangunan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Keempat-empat mereka pernah bermain mewakili Persatuan Bolasepak Perak (Perak FA) semasa zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

“Selain memastikan kebajikan para pemain kami dan meningkatkan persembahan keseluruhan kelab, kami ingin memastikan para pemain kami mendapat bimbingan dan latihan yang terbaik bagi memperbaiki persembahan.

"Perjalanan transformasi kami baru bermula dan apabila kesemua bahagian berada di posisi yang terbaik, Perak FC pasti akan menjadi satu pasukan yang akan disegani,” tambah Yunus.

Untuk rekod, Perak FC akan menyertai Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN, dan UiTM FC dalam Liga Premier 2022.

Perak FA ditubuhkan pada 1921 merupakan antara pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia apabila memenangi piala tersebut lapan kali.

Pada akhir tahun lalu, Impact Media and Communications mengambil alih Perak FC dan sedang melalui transformasi untuk menempatkan semula Perak FC menjadi kelab paling unggul dalam saingan bola sepak negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!