Omicron: Malaysia tidak akan 'lockdown' - Muhyiddin
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia tidak akan melaksanakan 'lockdown' atau perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan penularan varian Omicron di dalam negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan varian itu tidak memberi kesan kepada pemulihan negara.
"Kita berjanji tak akan balik kepada cara lama yang kenakan PKP atau lockdown," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, dekat sini pada Isnin.
Menurutnya, antara inisiatif tersebut adalah kawalan sempadan lebih ketat yang mula dilaksanakan.
"Majlis telah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa jangkitan Covid-19 menunjukkan trend peningkatan," katanya.
Beliau berkata, bukan hanya Malaysia tetapi banyak negara turut terkesan dengan varian tersebut.
"Sistem kesihatan awam kita pernah melalui tekanan (sebelum ini), jadi perlu ada strategi untuk menanganinya," katanya.
Muhyiddin berkata, kawalan sempadan dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dikenakan turut dijelaskan dalam mesyuarat tersebut.
"Sebab itu dibentangkan juga tadi strategi dan cara menanganinya, saya tidak perlu jelaskan di sini kerana ada inisiatif sedang dibuat berdasarkan kepada kes yang dilihat sedang menular," katanya.
Ujarnya, penutupan sempadan dalam satu tempoh yang tidak menentu memberi kesan cepat atau lambat kepada proses pemulihan negara.
"Kita cadangkan supaya satu jawatankuasa dibentuk antara beberapa kementerian dan ia akan dibentang semula kepada pihak majlis, bila dan bagaimana sempadan dapat dibuka secara berperingkat-peringkat.
Ia akan dikemukakan dan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang," katanya.
Pada perkembangan sama, Muhyiddin berkata, Pelan Pemulihan Negara 2.0 akan dirangka segera secara komprehensif dan inklusif melibatkan input daripada semua pemegang taruh diperlukan.
"Ia memandangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada tahun 2021 merupakan exit strategy membolehkan negara dibuka dengan selamat telahpun membuahkan hasil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!