'Kami semakin serasi'

Peng Soon (kiri) dan Valeree bakal bergandingan buat kali pertama pada Terbuka India.
Peng Soon (kiri) dan Valeree bakal bergandingan buat kali pertama pada Terbuka India.
A
A
A

KESERASIAN antara Chan Peng Soon dan Valeree Siow ternyata semakin menjadi meskipun tidak sampai sebulan digandingkan sebagai beregu campuran baharu negara.

Peng Soon berkata, beliau gembira kombinasi dengan pasangan baharunya itu bertambah baik lebih-lebih lagi menjelang penampilan sulung mereka pada Terbuka India bermula Selasa (11 Januari) hingga Ahad ini (16 Januari).

“Setakat ini saya dan Valeree menjalani sesi latihan dengan baik sebelum bermulanya Terbuka India. Saya agak gembira melihat persembahan beliau sekarang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut kerana tidak mahu memberi tekanan kepada Valeree, yang baru berusia 19 tahun.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebaliknya berharap mereka dapat menghasilkan keputusan yang baik dalam kejohanan yang akan berlangsung di Dewan Tertutup KD Jadhav di New Delhi.

Peng Soon-Valeree yang diletakkan sebagai pilihan kelima dalam kejohanan itu, akan membuka gelanggang dengan menentang pasangan bukan pilihan dari India, Raju Mohamed Rehan-Anees Kowsar Jamaludeen.

Pada 10 Disember lepas, Valeree dipilih sebagai pasangan baharu Peng Soon selepas pemain berpengalaman itu mengumumkan berpisah dengan Goh Liu Ying, selepas 13 tahun bergandingan dengan pencapaian tertinggi merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!