Dos penggalak: Pulau Pinang capai sasaran penghujung Februari
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang yakin mampu mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pemberian dos penggalak menjelang penghujung Februari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dengan pengoperasian 100 buah klinik swasta, 10 tapak 'off-site' dan program-program 'outreach' yang dijalankan membabitkan semua daerah, kerajaan negeri menggesa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) supaya mempercepatkan kadar suntikan dos penggalak di negeri ini.
Menurut Kon Yeow, beliau telah mengarahkan JKNPP untuk terus menjalankan pemantauan situasi semasa meliputi trend penularan, kadar R-naught (Rt) dan tempoh masa bertindak bagi mengelakkan peningkatan kes secara mendadak sehingga melumpuhkan sistem kesihatan negeri.
"Selain itu, JKNPP dan setiap agensi berkaitan juga diminta supaya bersedia dan memobilisasi segala kemudahan dalam menghadapi peningkatan laporan kes khususnya membabitkan varian Omicron.
"Dengan pengoperasian klinik, tapak 'off-site' dan program 'outreach', saya mengarahkan JKNPP supaya mempercepatkan kadar suntikan dos penggalak.
"Ia sekali gus meyakinkan saya bahawa Pulau Pinang mampu mencapai sasaran yang ditetapkan pada penghujung Februari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga menekankan bahawa polisi 'walk-in' tidak dibenarkan dan semua janji temu adalah menerusi aplikasi MySejahtera bagi mengelakkan kesesakan di pusat pemberian vaksin.
"Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang-Pengurusan Pandemik Covid-19 yang bersidang semalam (Isnin), kita mengambil keputusan bahawa Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) akan terus diletakkan pada tahap siap siaga sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
"Selain itu, KMP juga berperanan sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara pandu lalu bagi daerah Timur Laut, Mara Excellence Centre (MEC) di Jawi sebagai PKRC di negeri ini, manakala Hotel Bahang Bay dan Vouk Suites Hotel berfungsi sebagai Stesen Kuarantin Swasta kepada pengembara baru pulang dari luar negara (PUS)," katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan terus berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan situasi penularan pandemik di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Sebelum ini, Pulau Pinang merekodkan dua kes Covid-19 varian Omicron yang mana, kedua-dua kes itu adalah jangkitan import dari luar negara.
Kedua-dua kes itu dijangkiti apabila dua pesakit berkenaan pulang dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!