Kes Omicron di Filipina meningkat
MANILA - Varian Covid-19 Omicron yang sangat mudah berjangkit telah mendahului Delta dan kini merupakan varian dominan di Filipina, kata Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque pada Isnin malam.
Dalam pertemuan prarakaman dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang disiarkan lewat malam Isnin, Duque berkata, penjujukan genom terbaharu menunjukkan lebih 60 peratus sampel adalah kes varian Omicron, menurut Xinhua.
Beliau berkata, daripada penjujukan genom yang dijalankan pada 3 Januari, sekitar 60.42 peratus atau 29 daripada 48 sampel adalah kes Omicron, manakala 18 atau 37.5 peratus adalah Delta.
Negara Asia Tenggara itu melaporkan 33,169 jangkitan baharu Covid-19 pada Isnin, satu rekod baharu untuk peningkatan harian. Ia kini mempunyai hampir tiga juta kes yang disahkan, termasuk 52,293 kematian.
Negara itu mengalami gelombang keempat jangkitan Covid-19 sejak ia mula dikesan pada 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!