Yakin pengaruh Anwar cetus kemenangan
KUALA KEDAH - PKR Kedah yakin pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menjadi penentu kemenangan PH di PRK DUN Rantau, walaupun didakwa kerusi tradisi UMNO.
Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata, kehadiran Anwar yang diuarkan bakal mengambil alih pentadbiran negara pastinya menyuntik kelainan kalangan pengundi mahupun penduduk sekitar.
Menurutnya, biar pun ada pihak mendakwa PKR berdepan laluan sukar untuk menyaingi penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan, namun kehadiran Anwar diyakini mampu memberi saingan sengit kepada parti lawan.
“Kedua-dua calon ada kekuatan masing-masing, saya percaya kita ada kelebihan kerana pengaruh Anwar yang sentiasa bekerja keras dan mempunyai visi.
Sekarang rakyat dalam ‘mood’ melihat Anwar sebagai bakal perdana menteri, itu kelebihan calon PKR,” katanya, pada sidang media, selepas melancarkan siri pertama Program Jelajah Pengerusi PKR ke cabang-cabang, di Kampung Tepi Laut, hari ini.
Johari berkata, rakyat tidak boleh menyamakan kekalahan PH di PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini sebagai pengukur sokongan pengundi di Rantau.
“Kerusi DUN Rantau ditandingi calon PKR, Dr S Streram, kita tidak boleh andaikan kekalahan di Cameron Highlands dan Semenyih sebagai penanda aras sokongan rakyat.
Dua kerusi itu tidak ditandingi PKR. Saya percaya peluang di Rantau lebih cerah dan beroleh sokongan rakyat,” katanya.
Menurutnya, PKR Kedah turut menghantar jentera parti ke PRK Rantau dalam masa terdekat, bagi memastikan kemenangan kali ini berpihak kepada PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!