250 tan bantuan kemanusiaan UAE untuk mangsa banjir Malaysia

Hujan lebat di Malaysia pada penghujung 2021 mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa negeri, meragut hampir 50 nyawa setakat ini.
Hujan lebat di Malaysia pada penghujung 2021 mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa negeri, meragut hampir 50 nyawa setakat ini.
A
A
A

ABU DHABI - Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyumbang 250 tan bantuan kemanusiaan berupa pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir di Malaysia pada minggu pertama 2022.

Ia merupakan sebahagian daripada fasa pertama bantuan kemanusiaan UAE yang memberi tumpuan kepada keperluan tempat tinggal, makanan dan kesihatan, lapor portal berita tempatan UAE Al-Ain.

Selangor menjadi negeri penerima pertama sumbangan berupa 9,600 barangan keperluan yang disampaikan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (ERC) UAE.

Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda menerima bantuan berkenaan bagi pihak mangsa terjejas dalam satu majlis yang diadakan pada 3 Januari.

Di Pahang, sebanyak 10,000 keluarga terjejas juga mendapat manfaat daripada sumbangan itu.

Majlis agihan bantuan pada 6 Januari itu dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Al-Ghaith.

UAE antara negara pertama yang mengumumkan solidaritinya dengan Malaysia dalam menghadapi musibah ini, serta sentiasa proaktif dalam memberikan sokongan dan memanfaatkan keupayaannya untuk menyumbang kepada usaha kemanusiaan.

Pada akhir Disember lepas, kerajaan UAE mengumumkan akan menyumbang pelbagai barangan keperluan khusus kepada 775 keluarga membabitkan lebih 3,000 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga awam Kementerian Pertahanan di seluruh negara yang terjejas akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif Bantuan Kemanusiaan UAE itu disediakan oleh pihak berkuasa UAE di bawah arahan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed al Nahyan.

Hujan lebat di Malaysia pada penghujung 2021 mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa negeri, meragut hampir 50 nyawa setakat ini. Angka kematian itu adalah yang tertinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!