KPM, KKM benarkan saringan Covid-19 murid di rumah

KPM dan KKM bersetuju untuk benarkan 10 peratus murid sekolah rendah yang dipilih bagi jalani ujian saringan kendiri mingguan dilaksanakan di rumah dan keputusannya dimaklumkan kepada pihak sekolah. - Foto Bernama
KPM dan KKM bersetuju untuk benarkan 10 peratus murid sekolah rendah yang dipilih bagi jalani ujian saringan kendiri mingguan dilaksanakan di rumah dan keputusannya dimaklumkan kepada pihak sekolah. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju untuk membenarkan 10 peratus murid sekolah rendah yang dipilih bagi menjalani ujian saringan kendiri mingguan dilaksanakan di rumah dan keputusannya dimaklumkan kepada pihak sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah pihaknya mengadakan perbincangan bersama KKM dalam usaha menambah baik pelaksanaan itu.

“Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan pada minggu ini dan KPM akan mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan perkara tersebut.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa adalah amat penting ibu bapa kepada anak-anak yang terpilih untuk melaksanakan ujian ini di rumah dapat melaksanakan ujian berkenaan berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan dalam kenyataan media KPM nanti,” katanya dalam siaran video di Facebook rasminya pada Selasa.

Pada 27 November tahun lalu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa seramai 10 peratus murid sekolah rendah akan dipilih secara rawak bagi menjalani ujian saringan kendiri mingguan secara bergilir di sekolah selaras dengan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, sekiranya pendekatan tersebut tidak dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan maka, ia memberi kesan kepada anak-anak, kawan-kawan serta guru-guru di sekolah.

“Oleh yang demikian, adalah amat penting apabila kita memulakan pelaksanaan pendekatan baharu ini, ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan supaya ujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan kita dapat mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM.

“Kita ingin supaya sesi persekolahan ini dapat terus berlangsung dengan selamat dan saya yakin dengan usaha dan kerjasama daripada ibu bapa, kita dapat bersama-sama memastikan anak-anak kita dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang teratur dan selamat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!