Robot pintar agih air zamzam kembali di Masjidil Haram, Masjid Nabawi
KUALA LUMPUR - Jabatan Tertinggi Bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengaktifkan semula fungsi robot pintar untuk mengagihkan botol air zamzam kepada jemaah dan pengunjung dua masjid suci berkenaan.
Keputusan ini dibuat susulan arahan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua lokasi bermula akhir bulan lepas.
Timbalan Setiausaha Bahagian Pengairan Zamzam Masjidil Haram, Badr Al-Laqmani berkata, teknologi robot pintar ini mampu mengedarkan 30 botol air zamzam dalam tempoh 10 minit dan ia boleh bekerja sehingga lapan jam tanpa campur tangan manusia.
“Ia berhenti hanya 20 saat untuk mengisi botol”, katanya seperti disiarkan menerusi portal rasmi jabatan berkenaan.
Menurutnya, usaha sedang giat dijalankan untuk membolehkan robot dapat beroperasi secara meluas di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk turut mengendalikan beg dan silinder mudah alih.
“Kami berusaha untuk menyediakan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi untuk pengunjung Masjidil Haram,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai langkah berjaga-jaga dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi kecerdasan buatan (AI), pihaknya sedang dalam perancangan untuk membangunkan ‘sensor’ tanpa sentuh pada tangki marmar yang mengalirkan air zamzam di seluruh Masjidil Haram.
Arab Saudi buat pertama kali merekodkan jangkitan harian Covid-19 melebihi 4,000 kes pada Isnin apabila mencatatkan 4,778 kes baharu.
Menurut perkongsian infografik Kementerian Kesihatan Saudi di laman Twitter, dua mangsa dilaporkan maut akibat virus berkenaan dalam tempoh 24 jam, meningkatkan jumlah kumulatif kematian kepada 8,895 kes, di negara yang mencatatkan 583,531 kes jangkitan setakat ini.
Menurut perkongsian sama, seramai 154 pesakit Covid-19 kini berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!