UiTM, Perkeso jalin kerjasama perkasa OKU

Pertukaran memorandum persefahaman RU2 di antara Dr Roziah (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin di UiTM Shah Alam pada Selasa.
Pertukaran memorandum persefahaman RU2 di antara Dr Roziah (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin di UiTM Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalin kerjasama dengan mewujudkan kerjasama bagi memperkasakan orang kurang upaya (OKU).

Naib Canselor UiTM Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, kerjasama kedua pihak itu merangkumi kerjasama akademik, perundingan, penerbitan dan penyelidikan yang berkaitan dengan pengurusan hilang upaya.

Menurutnya, pada masa yang sama, penyediaan perkhidmatan rehabilitasi oleh Perkeso akan dilaksanakan dengan kerjasama Hospital UiTM.

"Menerusi MoU ini, program-program yang dapat memberikan persekitaran yang lebih inklusif, kondusif dan selamat kepada warga OKU UiTM untuk kembali bekerja dan belajar turut dibangunkan.

"Antaranya melalui Program Return to University (R2U) yang diadaptasi daripada Program RTW PERKESO sekali gus dapat membantu warga UiTM yang cedera, menghidapi penyakit serta daripada golongan OKU untuk kembali bekerja atau belajar lebih awal, dalam keadaan yang sihat danpersekitaran yang selamat," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Roziah berkata, program R2U ini merupakan program pertama yang seumpamanya diwujudkan di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama itu adalah antara gerak kerja lanjutan daripada Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi yang bertujuan untuk menjadikan institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih inklusif dan mesra kepada semua terutamanya golongan OKU di Malaysia.

"Melalui kemahiran dan maklumat daripada Perkeso sebagai sebuah organisasi yang berperanan dalam memperbaiki keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kerjasama ini dapat melebarluas ruang untuk UiTM melaksanakan lebih banyak penyelidikan dan penerbitan khususnya kepada pengurusan hilang upaya.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan warga OKU UiTM harus diberi penekanan secara keseluruhannya iaitu yang merangkumi mahasiswa OKU, staf OKU dan staf yang mempunyai tanggungan OKU.

"Dalam konteks ini, UiTM telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPOUiTM) sekali gus menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang meletakkan unit perkhidmatan OKU di bawah pentadbiran Pejabat Naib Canselor," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama ini bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai ahli masyarakat yang memahami konsep pengurusan hilang upaya malah turut mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi seperti sifat empati dan prihatin dalam menjalankan program dengan lebih efisien serta efektif.

Beliau berkata, kerjasama ini juga dapat memberi pendedahan awal mengenai pengurusan hilang upaya di Malaysia kepada golongan mahasiswa sebagai pelapis pemimpin masa hadapan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!