Liga Bola Sepak Perlis cungkil bakat baharu
BUAT julung kalinya kerajaan negeri Perlis akan menganjurkan Liga Bola Sepak Perlis sebagai langkah proaktif mencungkil bakat baharu dan memeriahkan kembali sukan bola sepak di negeri ini.
Exco Belia dan Sukan negeri, Hamizan Hassan berkata, sebanyak lapan hingga 10 pasukan dijangka menyertai edisi pertama liga itu yang dijadualkan bermula bulan depan.
“Pada peringkat awal ini kami hadkan 10 pasukan dari mana-mana kelab bola sepak yang terdapat di negeri ini dan pada masa yang sama turut mengalu-alukan penglibatan pasukan baharu,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang itu berkata, pasukan dan kelab baharu dikehendaki menyertai bengkel pengurusan pasukan yang akan dikendalikan oleh Pesuruhjaya Sukan bagi menjaga kualiti penganjuran liga tersebut.
“Kami tidak mahu liga ini dilabelkan sebagai ‘Liga Bola Sepak Kampung’ sebaliknya liga ini membawa hala tuju yang lebih besar,” katanya.
Hamizan berkata, pasukan yang bertanding akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan perlu mendaftar sekurang-kurangnya 25 pemain yang berumur 28 tahun ke bawah.
“Namun demikian setiap pasukan dibenarkan untuk mengambil empat orang pemain import (dari luar Perlis) yang berusia 30 tahun ke bawah,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!