Presiden baharu PSM perlu berani lakukan tranformasi

Mohd Asmirul (kanan) bersama raja libas negara, Adnan Saidin pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Kelab Sepak Takraw Darul Aman di Alor Setar baru-baru ini.
Mohd Asmirul (kanan) bersama raja libas negara, Adnan Saidin pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Kelab Sepak Takraw Darul Aman di Alor Setar baru-baru ini.
A
A
A

KEPIMPINAN baharu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu melakukan transformasi dengan membawa perubahan agar mereka dilihat berbeza dengan kepimpinan terdahulu dalam mengembalikan kepercayaan peminat sukan tersebut.

Presiden Kelab Sepak Takraw Darul Aman, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, menjelang pemilihan barisan baharu PSM yang dijadualkan 12 Februari depan, sesiapa sahaja yang dipilih menjadi presiden baharu persatuan tersebut perlu mempunyai sasaran jelas termasuk membantu semua persatuan dan kelab di peringkat negeri.

Menurutnya, kepimpinan baharu PSM juga perlu berani merombak perlembagaan sedia ada jika mahu melihat persatuan tersebut seiring dengan perkembangan semasa bagi memartabatkan kembali nama Malaysia dalam sukan tersebut di persada antarabangsa.

"Saya menyokong sesiapa sahaja yang akan terpilih sebagai presiden baharu PSM pada pemilihan 12 Februari depan. Paling penting individu tersebut perlu berani membawa transformasi di dalam kepimpinan PSM.

"Jika tiada perubahan baharu yang dibawa oleh individu tersebut, maka peminat dan pemerhati sukan sepak takraw melihat PSM akan terus berada pada takuk lama, tiada perbezaan dengan kepimpinan PSM yang lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah yang hanya akan menawarkan diri bertanding jawatan presiden sekiranya mendapat 'restu' daripada persatuan negeri dan ahli bersekutu PSM yang lain.

Mengulas lanjut, Mohd Asmirul berkata, presiden baharu PSM perlu memberi fokus di peringkat negeri dengan menggalakkan persatuan mahupun kelab menganjurkan pelbagai kejohanan untuk mencungkil bakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, Kelab Sepak Takraw Darul Aman yang mendapat sokongan ramai bekas pemain legenda seperti Adnan Saidin, Abd Malek Shamsudin dan Zabidi Shariff juga baharu sahaja menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Kelab Sepak Takraw Darul Aman pada 25 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

"Fokus semua pihak kini adalah memperbanyakkan platform kejohanan bagi melahirkan lebih ramai bakat sepak takraw. Di Kedah, Kelab Sepak Takraw Darul Aman tidak bersaing dengan Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah sebaliknya saling melengkapi fungsi di antara satu sama lain untuk perkembangan sepak takraw di negeri ini," ujarnya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Zuraidin buat masa ini belum mendapat sebarang ilham untuk menawarkan diri jawatan kerusi nombor satu PSM tersebut yang dijadualkan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) itu.

Untuk rekod, jawatan nombor satu PSM itu kosong selepas Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya pada 4 Jun lalu susulan badan induk sepak takraw negara terpalit isu dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Pada masa sama Zuraidin berharap AGM PSM itu akan menjadi lembaran baharu dalam usaha badan induk tersebut mengemukakan permohonan baharu untuk kembali menjadi ahli gabungan ASTAF.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!