Proses permohonan, agihan bantuan banjir mudah: Mangsa

Orang ramai beratur panjang untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Azalea, Taman Sri Muda di sini pada Selasa. - Foto Bernama
Orang ramai beratur panjang untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Azalea, Taman Sri Muda di sini pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mangsa banjir di Taman Sri Muda di sini menyifatkan proses permohonan dan pengagihan bantuan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebagai mudah dan lancar.

Pang Lu Tan, 72, berkata, dia hanya perlu menyediakan kad pengenalan dan beberapa keping gambar kejadian banjir sebagai bukti, semasa mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah Klang dua minggu lepas, sebelum menerima mesej bagi menerima bantuan pada Selasa.

“Nak mohon pun tidak susah, cuma bawa salinan kad pengenalan saya dan isteri sahaja, saya juga sediakan beberapa keping gambar kejadian banjir sebagai bukti. Pejabat Daerah Klang juga mudahkan urusan dengan menggunakan satu borang permohonan bagi dua bantuan iaitu BWI dan BSB (Bantuan Selangor Bangkit).

“Jadi hari ini saya dapat dua bantuan sekali gus, setiap satu RM1,000. Bolehlah guna untuk beli beberapa barang keperluan yang rosak,” katanya kepada pemberita selepas menerima agihan kedua-dua bantuan itu di Dewan Azalea, Taman Sri Muda di sini pada Selasa.

Lu Tan tidak menafikan bantuan tersebut agak kecil jika dibandingkan dengan jumlah kerugian dialami, namun sedikit sebanyak ia dapat meringankan bebannya sekeluarga.

“Bukan tempat kita saja yang kena banjir, merata tempat kena. Jadi, bantuan ini sedikit sebanyak sudah membantu,” katanya.

Bagi Hamizan Sampol, 46, yang datang berkerusi roda ke dewan tersebut berkata, proses pengagihan disifatkan cepat dan berjalan lancar, selain mengutamakan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) seperti dirinya.

“Saya dengan isteri Siti Rokoyyah Hasan, 41, bertolak sekitar jam 9 pagi dan untuk sampai sini ambil masa sedikit, sebab dimaklumkan hari ini ramai yang terima bantuan. Memang sedikit sesak, tapi pihak pengurusan di dewan ini telah menyediakan stesen khas untuk OKU dan warga emas jadi kami tidak perlu tunggu lama.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, saya nak gunakan bantuan ini untuk ganti motor katil automatik saya yang rosak apabila katil yang diletakkan di tingkat bawah rumah saya ditenggelami air ketika banjir tempoh hari,” katanya yang cacat di bahagian kaki akibat kemalangan tahun lepas.

Seorang operator kilang di Seksyen 16, di sini, N Sivakumar pula berkata, bantuan tersebut akan digunakan bagi membeli barangan elektrik untuk rumahnya.

“Walaupun ada yang kata RM2,000 untuk dua bantuan itu kecil, tetapi sebenarnya amat membantu kami yang dalam kesusahan,” katanya.

Tinjauan Bernama di pusat pengagihan bantuan mendapati penerima mula memenuhi kawasan berkenaan seawal jam 8 pagi bagi menerima BWI daripada kerajaan Pusat dan BSB daripada kerajaan Selangor. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!