Perbicaraan tuntutan harta sepencarian Jamaluddin Jarjis ditangguh
KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian dianggarkan mencecah RM1 billion oleh balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis terhadap empat anak dan ibu mertuanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditetapkan pada 7 April depan.
Ia diputuskan ketika prosiding yang dijadualkan untuk perbicaraan pagi Selasa di hadapan Hakim Syarie, Hasnita Hamidon.
Peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Jamaluddin, Aminah Abdullah, 88, berkata, terdapat beberapa dokumen berkaitan kes belum diserahkan kepada mahkamah.
Beliau berkata, anak guamnya selaku defendan kelima, baharu sahaja menerima pernyataan saksi daripada balu Allahyarham, Puan Sri Kalsom Ismail, 66, selaku plaintif pagi Selasa.
“Pihak plaintif sepatutnya menyerahkan dokumen itu sekurang-kurangnya seminggu sebelum prosiding bermula.
“Jadi, kami memerlukan masa untuk meneliti pernyataan saksi dan dokumen lain yang diperlukan,” katanya, ketika ditemui di luar mahkamah pada Selasa.
Ekoran kelewatan pemfailan dan penyerahan dokumen tersebut, Nur Hidayah berkata, defendan kelima memohon plaintif membayar kos sebanyak RM100,000.
Ia katanya, mengambil kira pembaziran masa kepada mahkamah selain faktor usia anak guamnya.
Bagaimanapun, Nur Hidayah berkata, hakim Hasnita menolak permohonan kos tersebut dan menetapkan perbicaraan pada 7 April depan.
Dalam kes ini, defendan kelima turut diwakili peguam Syarie, Zaid Abdul Aziz, Mohamad Shahril Mohamad Nasir dan Farhan Haziq Mohamed.
Sementara itu, peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom berkata, pihaknya mengesahkan pernyataan keterangan plaintif diserahkan kepada pihak defendan, pagi Selasa.
Mengulas lanjut mengenai senarai saksi yang akan dipanggil, Sulaiman berkata, pihaknya belum memutuskan bilangan saksi berkenaan.
Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Makkah, Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.
Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi, Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!