Mayat nelayan ditemui terapung di muara sungai

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan pada jam 5 petang Selasa.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan pada jam 5 petang Selasa.
A
A
A

BEAUFORT- Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia akibat lemas di muara sungai Kampung Lubok Weston Tanjung, di sini, pada petang Selasa.

Mangsa, Zulkifli Jambul, 43, ditemui pada jam 4.14 petang dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, SAR yang memasuki hari kedua itu berjaya menemui mangsa di muara sungai berkenaan tidak jauh dari mangsa dilaporkan hilang.

"Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan terapung oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok bersama pasukan bomba dan agensi lain pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi ditamatkan pada jam 5 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohammad Hasbullah berkata, operasi SAR turut dibantu oleh unit K9 dengan menggunakan anjing pengesan selain anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), PBS dan penduduk kampung.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang pada Isnin selepas keluar menangkap ikan di muara sungai berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!